Kemalangan yang menyebabkan dua wanita termasuk warga emas maut. FOTO ihsan pembaca
Oleh Abd Rahman Adam

Bintangor: Dua wanita termasuk warga emas maut, manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran simpang Pakan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, mangsa, Minda Sayup, 32, maut di tempat kejadian, manakala Riong Gada, 64, meninggal dunia di Hospital Sarikei.

Kedua-duanya menaiki kereta dan tiga lagi penumpang kereta termasuk dua kanak-kanak berusia 13 tahun parah, menerima rawatan di hospital sama.

Pemandu dan penumpang treler serta pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dipandu seorang lelaki berusia 27 hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian dan merempuh pacuan empat roda yang kemudiannya terbabas ke laluan bertentangan.

Kereta dinaiki mangsa yang maut melanggar pula pacuan empat roda itu.

Ketua Polis Daerah Maradong Deputi Superitendan Mohamad Hafifi Salim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

"Pemandu treler ditahan bagi membantu siasatan sejurus kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 8:59 PM