DR Hilmi Yahaya (tiga dari kiri) merasmikan kempen berhenti merokok, Lakukan Sesuatu Yang Menakjubkan, oleh Johnson & Johnson Malaysia.
Oleh Zaitie Satibi


Apabila seseorang merokok, menghisap paip, cerut atau shisha sudah tentu dia menghembuskan asap yang berkepul-kepul. Asap daripada bahan tembakau yang terampai-ampai di udara ini dipanggil asap pasif atau ‘secondhand smoke’ (SHS). Asap ini walaupun datang daripada hembusan perokok, ia tetap mengandungi sebatian kimia yang boleh menjejaskan kesihatan termasuk menyebabkan kanser.

Oleh itu, asap ini juga mendatangkan bahaya kepada orang lain yang bukan perokok. Mereka yang bukan perokok tetapi terdedah kepada SHS ini digelar perokok pasif kerana mendapat nikotin dan bahan kimia bertoksik dengan cara sama seperti perokok. Semakin banyak SHS yang disedut, semakin tinggi paras bahan kimia berbahaya ini dalam tubuh mereka.

Wanita hamil yang terdedah kepada SHS berisiko tinggi untuk mengalami keguguran, kematian bayi ketika dilahirkan, bayi kurang berat badan dan masalah kehamilan lain termasuk ketika bersalin. Kesan buruk lain kepada orang dewasa akibat menyedut SHS seperti masalah jantung dan saluran darah, kanser paru-paru serta strok.

Bagi kanak-kanak pula SHS menyebabkan jangkitan telinga, serangan semput yang teruk dan kerap, pertumbuhan paru-paru perlahan, gejala respiratori (batuk, bersin dan sesak nafas), jangkitan respiratori (bronkitis dan pneumonia) serta sindrom kematian mengejut dalam kalangan bayi (SIDS).

Kajian menunjukkan partikel daripada SHS boleh bertukar menjadi habuk dan melekat di sebarang permukaan sehingga berbulan-bulan lamanya walaupun asap sudah hilang. Sisa asap tembakau ini dikenali sebagai asap tahap tiga atau ‘thirdhand smoke’ (THS). Walaupun THS masih lagi dalam kajian, partikel yang terhasil daripada asap tembakau ini boleh bergabung dengan gas di udara untuk membentuk sebatian penyebab kanser yang tidak terdapat dalam asap sedutan pertama.

Karsinogen yang menyebabkan kanser paru-paru pernah ditemui dalam sampel habuk yang diambil dari rumah perokok. Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa THS boleh merosakkan asid deoksiribonukleik (DNA) sel manusia dalam kultur sel. Walaupun belum diketahui, kesan penyebab kanser daripada sisa asap ini dikatakan mungkin lebih rendah berbanding pendedahan terus kepada SHS.

Namun, sebatiannya boleh bercampur dan disedut bersama habuk rumah dan mungkin juga diserap menerusi kulit atau termasuk ke dalam mulut secara tidak sengaja. Disebabkan itu, sebarang risiko daripada sebatian terbabit mungkin lebih tinggi didiami bayi dan kanak-kanak yang bermain di lantai dan selalu memasukkan benda ke dalam mulut.

Menurut Pakar Psikiatri dan Pakar Berhenti Merokok, Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Dr Amer Siddiq Amer Nordin, sejak dua dekad lalu SHS sudah diterima sebagai mendatangkan bahaya yang sama seperti sedutan pertama asap rokok.

Dalam kajian membabitkan 192 negara mendapati satu pertiga individu bukan perokok termasuk bayi menjadi perokok pasif.

Malah, dalam kajian sama juga mendapati satu peratus kematian akibat kesan merokok adalah perokok pasif.

“Baru-baru ini terdapat peningkatan keperluan untuk mengkaji kesan THS terhadap kesihatan. Sisa asap rokok yang tertinggal pada kelengkapan harian seperti bekas abu dalam kereta, fabrik seperti langsir, selimut, permaidani dan perabot lain. Sisa asap yang mencukupi sama ada boleh menyebabkan masalah kesihatan atau dilepaskan ke udara sebagai gas.

“Kedua-duanya menyebabkan kemudaratan yang datang daripada asap tembakau. Gas daripada sisa asap terbabit yang dilepaskan ke udara akan bercampur dengan gas berbahaya lain, contohnya, nitrus oksida yang bercampur dengan THS menghasilkan nitrosamines iaitu sejenis karsinogen,” katanya ditemui selepas pelancaran kempen berhenti merokok, Lakukan Sesuatu Yang Menakjubkan oleh Johnson & Johnson Malaysia.

Perasmian kempen disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya. Turut hadir, Pengarah Kumpulan Johnson & Johnson Malaysia Stuart Crabb.

Cara terbaik bagi mengelakkan orang ramai terdedah kepada SHS dan THS adalah dengan perokok berhenti merokok, menghisap paip, cerut atau shisha. Memang terdapat larangan di sesetengah kawasan dan denda berat di negara ini terhadap merokok di tempat awam, namun bukan mudah bagi perokok untuk berhenti begitu saja kerana mereka sudah ketagihan nikotin.

Dr Amer Siddiq berkata, nikotin boleh menyebabkan ketagihan yang teruk, ia dengan mudah meresap ke dalam saluran darah apabila produk berasaskan tembakau dikunyah, disedut atau dihidu.

Apabila ia memasuki saluran darah, nikotin merangsang saraf keseronokan di dalam otak. Perasaan seronok yang timbul akibat daripada rangsangan nikotin akan hilang dengan cepat dan ini merangsang perokok untuk mengambil satu lagi dos nikotin. Lama-kelamaan, perokok akan menjadi lali terhadap nikotin, menjadi ketagih dan memerlukan lebih banyak nikotin. Oleh itu, perokok terpaksa mengambil dos nikotin yang lebih tinggi untuk memenuhi keinginan mereka.

“Apabila perokok cuba untuk mengurangkan atau berhenti merokok secara tiba-tiba, kekurangan kandungan nikotin akan mengakibatkan gejala penolakan seperti sakit kepala, loya, sembelit atau cirit-birit, kadar jantung dan tekanan darah menurun, keletihan, mengantuk, insomnia, mudah marah, kesukaran menumpukan perhatian, kebimbangan, kemurungan, mudah lapar, peningkatan pengambilan kalori dan gula serta ketagihan tembakau.

“Oleh itu, apabila seseorang perokok cuba untuk berhenti daya ketahanan diri pada minggu pertama menjadi petunjuk penting yang akan menentukan hasilnya pada masa akan datang. Relaps atau ketagihan lebih buruk sering terjadi pada peringkat awal cubaan untuk berhenti merokok kerana dalam tempoh itu gejala berhenti merokok paling mencabar.

“Strategi menetapkan matlamat adalah elemen penting yang dapat memberi dorongan secara berterusan kepada perokok untuk berhenti merokok dengan jayanya. Membuang ketagihan nikotin mungkin bukan satu perkara mudah bagi segelintir orang dan disebabkan itu perokok yang ingin berhenti merokok dinasihatkan menemui pakar di klinik atau hospital yang menyediakan perkhidmatan berhenti merokok,” katanya.

Katanya, kebanyakan perokok mengetahui kesan buruk merokok terhadap kesihatan mereka, namun mereka tidak berupaya mengawal keinginan mereka untuk tidak merokok.

Proses untuk berhenti merokok menampilkan kedua-dua cabaran fisiologi dan psikologi. Perokok perlu memahami bahawa ketagihan nikotin adalah satu permasalahan perubatan dan mereka perlu berunding de­ngan doktor bagi membolehkan mereka menangani ketagihan mereka terhadap tembakau.

“Secara umum masih terdapat keperluan membekalkan perkhidmatan dan rawatan untuk semua perokok, memandangkan hampir separuh daripada semua perokok pernah mencuba berhenti merokok dalam satu peringkat kehidupan mereka. Terdapat pelbagai jenis ubatan yang boleh didapati sekarang untuk merawat ketagihan merokok. Antara yang terawal adalah terapi gantian nikotin (NRT).

“Banyak kajian mengenai keberkesanannya dijalankan dan didapati selamat untuk diambil. NRT hadir dalam pelbagai bentuk seperti gula getah, ubat hisap (lozenges) ataupun ubat tampalan (patches). Kepelbagaian jenis terapi membolehkan perokok membuat pilihan terbaik bergantung kepada keserasian dan keselesaan masing-masing.

“Bagaimanapun, kandungan nikotin yang terdapat dalam ubatan ini cukup sekadar memberi kesan untuk menangani ketagihan dan rangsangan pada satu-satu waktu tetapi tidak mampu memberi kesan kenikmatan sama seperti yang diperoleh ketika merokok. Jika dibandingkan dengan rokok, ubatan ini lebih selamat kerana tidak mengandungi bahan toksik akibat merokok seperti tar yang diketahui amat berbahaya,” katanya.

Selain NRT, ubatan lain yang terdapat di pasaran ialah varenicline, bupropion dan nortriptyline. Ubatan ini mempunyai kesan sama seperti NRT cuma perlu mendapat preskripsi daripada doktor terlebih dulu sebelum membelinya. Semua ubatan ini hanya digunakan untuk tempoh sementara sehingga ketagihan merokok dapat dikawal.

Bagi sesetengah perokok, ketagihan mereka sukar dikawal menyebabkan mereka terpaksa mengambil ubatan ini untuk jangka masa lebih panjang, di samping menggunakan rawatan alternatif lain seperti senaman pernafasan.

Sementara itu, Stuart berkata, aspirasi kempen ini adalah untuk terus mendekati perokok melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sambil menggalakkan perokok berbincang dengan pakar penjagaan kesihatan mengenai pilihan kaedah sedia ada untuk berhenti merokok, membantu perokok mengharungi waktu sukar, memupuk dan membangunkan kekuatan dalaman yang dapat membantu mereka mengharungi perjalanan sukar untuk bebas daripada merokok serta menawarkan sokongan sewajarnya apabila diperlukan.

“Kempen ini turut menjadi pengenalan kepada pelancaran produk NRT, Nicorette Invisi PatchTM di pasaran yang diperbaharui membantu perokok menangani ketagihan terhadap nikotin dan boleh diperoleh tanpa memerlukan preskripsi (over-the-counter).

“Tampalan Nicorette Invisi PatchTM adalah penyelesaian sehari sekali yang merembes nikotin dalam dos terkawal sehingga 16 jam bagi membantu perokok menangani keinginan mereka terhadap nikotin dan gejala berhenti merokok. NRT ini dapat diterima dengan mudah oleh tubuh seseorang perokok dan turut mempunyai profil keselamatan tinggi.

“Tahap keselamatan dan keberkesanan Nicorette adalah amat tinggi dan tampalan baru ini memberikan pilihan rawatan yang amat didambakan terutama sekali oleh perokok tegar. Kajian Usahasama Penilaian Anti Merokok Eropah (CEASE) menunjukkan bahawa program pengurangan merokok Nicorette Invisi PatchTM terbukti 44 peratus lebih berkesan daripada program asal tampalan sebelum ini yang dilaksanakan selama 12 minggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:01 AM