KEJAYAAN tidak datang bergolek tanpa usaha gigih.
BERSAMA ibu bapa dan suami yang menjadi tulang belakang kejayaannya selama ini.
TERHARU diiktiraf oleh MBOR sebagai penerima PhD termuda.
PASANGAN pengantin baru ini pulang meraikan Aidiladha
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus.

Cita-cita utama wanita ini sejak kecil untuk menjadi seorang doktor perubatan bagi membantu orang susah.

Namun, siapa sangka takdir membawa Hazzirah Izzati Mat Hassim kepada bidang Matematik Tulen yang akhirnya melonjakkan namanya dalam bidang pelajaran di negara ini.

Sebelum itu, tiada siapa yang mengenali wanita kecil molek kelahiran Kubang Kerian, Kelantan ini, tetapi selepas dia berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada usia 24 tahun, seluruh negara mula mengaguminya.

Kejayaannya bukan calang-calang kerana pada usia berkenaan, kebanyakan kita hanya mampu menamatkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda. Lantas kejayaan Hazzirah turut diiktiraf Buku Rekod Malaysia (MBOR) sebagai pemegang PhD termuda di Malaysia.

Hazzirah mengakui kejayaan dikecapinya memberi suntikan semangat untuk dia terus melakar kejayaan pada masa akan datang apatah lagi dia bukanlah berasal daripada keluarga berada. Ayahnya, Mat Hassim Daud, 58, adalah Penolong Pegawai Perubatan di Unit Kecemasan Hospital Tumpat manakala ibu, Martinawati Salleh, 51, guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 1.

Hazzirah mula meminati bidang matematik sejak di bangku sekolah rendah meskipun bercita-cita ingin menjadi doktor perubatan.

Katanya, bidang matematik tulen menjadi pilihan berbanding subjek lain kerana ia memerlukan seseorang itu berfikir dengan lebih mendalam selain banyak membabitkan pembuktian sesuatu teori.

"Sikap ingin tahu sangat kuat dalam diri saya dan berasa seronok jika dapat membuktikan sesuatu formula atau teori yang ketika kecil dulu, hanya mampu menghafal saja," katanya.

Hazzirah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah oleh UTM selepas berjaya menyiapkan pengajian dan penyelidikan tesis dalam masa tiga tahun setengah.

Skop kajian tesis yang dilakukannya itu merangkumi kajian teori kumpulan iaitu salah satu cabang bagi bidang al jabar.

"Objektif utama tesis saya untuk menentukan beberapa sifat bagi kumpulan kristalografi yang juga satu pendekatan matematik dalam penentuan struktur kristal," katanya.

Begitupun, setiap kejayaan yang diraihnya bukan datang bergolek.

Menurut Hazzirah, banyak cabaran terpaksa dihadapi sepanjang tempoh pengajian untuk menyiapkan kajian berkenaan. Ini kerana, matematik tulen satu bidang yang tidak popular meskipun ia sebenar­nya sedang berkembang di negara ini.

"Antara cabaran perlu dihadapi adalah untuk mendapatkan khidmat pakar dalam bidang terbabit kerana tidak ramai pakar bidang matematik tulen di Malaysia.

"Jika ada pun, mereka mempunyai bidang kajian masing-masing," katanya.

Memandangkan penyelidikannya belum pernah dilakukan mana-mana individu di dunia, Hazzirah perlu berkolaborasi dengan penyelidik dari luar negara.

Ia juga bukan sesuatu yang mudah kerana perlu berdepan dengan halangan termasuk jarak, penggunaan bahasa, budaya serta makanan terutama ketika menjalankan penyelidikan berkaitan di luar negara.

"Selain itu, untuk menjemput penyelidik luar negara datang ke negara ini juga bukan sesuatu yang mudah kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

"Namun, alhamdulillah, saya mendapat bantuan daripada UTM serta Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyalurkan dana melalui geran penyelidikan untuk digunakan sepanjang penyelidikan," katanya.

Jelas anak kedua daripada lapan beradik ini, dia banyak terhutang budi dan berterima kasih kepada ibu bapanya serta dua penyelianya iaitu Profesor Dr Nor Haniza Sarmin dan Dr Nor Muhainiah Mohd Ali selain pensyarah di Jabatan Sains Matematik Fakulti Sains UTM Johor Bahru kerana banyak memberi tunjuk ajar.

Suami sealiran

Sebaik saja menamatkan pengajiannya, wanita kecil molek ini kemudian mendirikan rumahtangga bersama Muhamad Najib Zakaria, 26, dari Masjid Tanah, Melaka pada September lalu.

Mengenai karakter suami yang memikat hati pelajar genius ini, Hazzirah akui tertarik dengan sikap bertanggung dan mengambil berat yang ada pada Muhamad Najib.

"Suami dan saya belajar di fakulti yang sama dan kami terbabit dalam pelbagai aktiviti di universiti.

"Rasanya, jika satu aliran (Muhamad Najib juga ahli matematik), hubungan menjadi lebih mudah kerana saling memahami dan menyokong antara satu sama lain.

"Jika tiada aral, insya-Allah saya akan mengikut suami untuk melanjutkan pengajian di luar negara tidak lama lagi," katanya.

Hazzirah juga akui tidak mempunyai petua tertentu mengenai rahsia kejayaannya melainkan memberi tumpuan penuh ketika di dalam kelas atau bilik kuliah.

Dia juga tidak memiliki rutin tertentu sebelum peperiksaan besar melainkan melakukan solat hajat dan mendapat tidur yang mencukupi.

Selain itu, dia juga segera bertanya jika tidak memahami apa yang diajar tanpa perlu bertangguh bagi memudahkannya mengulangkaji pelajaran.

"Sejak di bangku sekolah, saya tidak memperuntukkan waktu khusus untuk belajar kerana masa belajar bergantung kepada apa yang difahami sewaktu di dalam kelas.

"Namun, ketika menyiapkan pengajian peringkat ijazah doktor falsafah tempoh hari, saya memperuntukkan sekitar lapan jam sehari untuk menjalankan penyelidikan.

"Untuk itu, saya juga mendisiplinkan diri untuk bercuti tidak lebih daripada 30 hari setahun seperti dibenarkan pihak universiti," katanya.

Wanita yang menjadikan junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai idola itu juga tidak mempunyai pantang larang terhadap makanan.

Dia tidak memilih makanan, namun amat menjaga waktu makan untuk memastikan ia teratur.

Sementara itu, seperti wanita seusia dengannya, Hazzirah juga mempunyai hobi dan bukan hanya menelaah pelajaran setiap mata.

Dia biasanya bermain badminton atau keluar bersantai bersama rakan jika mempunyai kelapangan.

"Ia juga seperti terapi untuk menghilangkan tekanan selain mengeluarkan peluh dengan aktiviti riadah," katanya.

Tambahnya, dia tidak pernah berasa dirinya seorang yang genius kerana apa yang dikecapi hari ini adalah hasil kerja keras yang dilakukan selama ini. Baginya, belia di negara ini harus lebih berani untuk keluar dari zon selesa bagi merealisasikan impian masing-masing.

"Selain dua penyelia terbabit, saya turut terhutang budi kepada semua pendidik di SK Kubang Kerian 1, MRSM Kuala Krai, MRSM Pengkalan Chepa dan UTM Johor Bahru.

"Tidak ketinggalan kepada Dr Rohaidah Masri dan Dr Nor'ashiqin Mohd Idrus di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Hanya Allah mampu membalas budi baik kalian," katanya yang berharap untuk melihat lebih ramai golongan muda berjaya dalam pelbagai bidang.

Hazzirah mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai dan MRSM Bitara Pengkalan Chepa. Peluang belajar di MRSM Bitara Pengkalan Chepa dimanfaatkan sepenuhnya sehingga ditawarkan untuk menyertai program Ekspres UTM-MARA di UTM selama enam bulan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berdasarkan keputusan SPM yang diperoleh iaitu 7A1 dan 3A2 serta keputusan peperiksaan akhir program Ekspres UTM-MARA, dia menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dan mendapat kepujian kelas pertama.

Dia kemudian ditawarkan UTM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di bawah program PhD Fast Track UTM dalam jurusan Matematik Tulen.

Dalam tempoh pengajian PhD, Hazzirah Izzati turut menyumbang dalam penerbitan buku, jurnal berindeks dan tidak berindeks selain membentangkan hasil penyelidikannya dalam persidangan antarabangsa seperti Seminar Algebra Iran di Sabzevar, Iran; Persidangan Teori Kumpulan Antarabangsa Biennial di Istanbul, Turki; Persidangan Matematik Asia di Busan, Korea dan Seminar Algebra di University of Brasilia, Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:03 AM