Kisah mengenai Stacy mahu memeluk Islam bukan cerita baru. Ia mula diperkatakan sejak 2013 apabila tersebar gambar mengucap dua kalimah syahadah di depan ustaz.

Hakikatnya, memang jauh beza rupa Stacy dengan wanita dalam gambar itu dan ia dipercayai disebarkan individu yang tidak bertanggungjawab.

Tidak tahulah apa tujuan mereka menyebarkan cerita tidak benar itu dan hingga kini, Stacy sering dikaitkan dengan cerita sama kerana penyanyi yang popular dengan lagu Gila itu rapat dengan Akim Ahmad.

Mungkin ada peminat Stacy mahu penyanyi kesayangannya itu memeluk Islam dan kini mahu keduanya disatukan dengan ikatan perkahwinan.

Apabila bercinta dengan Akim beragama Islam, mereka mengharapkan Stacy memeluk Islam. Walaupun hidup dalam zaman moden dan bersikap terbuka, hakikatnya masyarakat kita tidak mungkin menerima perkahwinan berbeza agama sebagaimana di negara jiran.

Keadaan ini menyebabkan isu ini terus diperkatakan tetapi soal agama tidak boleh dibuat main-main. Biarlah niat mahu mengucap dua kalimah syahadah itu datang daripada hatinya yang ikhlas, bukan terpaksa atau dipaksa.

Janganlah kita meletakkan kedudukan agama Islam begitu rendah hingga boleh dipermainkan seperti itu.

Daripada timbul sekelumit di hati Stacy untuk berbuat demikian tetapi kerana ia sering diperkatakan, bimbang Stacy muak, seterusnya jauh hati hendak berbuat demikian.

Apa yang boleh peminat lakukan, doakan yang baik-baik. Jika memang tertulis bahawa Stacy menjadi Muslimah, insya-Allah tidak ada apa yang mampu mengubahnya. Cuma, tidak perlulah isu ini terus diperkatakan.

Sebagai selebriti popular, Stacy seharusnya lebih bijak menangani isu ini kerana ia sesuatu yang memang sensitif untuk diperkatakan. Ia juga diakui Stacy.

Jika ditanya wartawan sekalipun, Stacy perlu bijak menilai, perlukah untuknya menjawab atau berdiam saja. Fikir dulu, apakah jawapan diberi akan memberi kesan atau tidak.

Harap isu Stacy ini tidak dibangkitkan lagi selepas ini. Kita tunggu saja kalau ada berita gembira yang sahih mengenai Stacy memeluk Islam nanti.

Begitu juga Akim, tidak perlu terlalu terbuka bercerita mengenai perkara ini. Akim kata begini, Stacy kata begitu. Di penghujungnya, media yang dipersalahkan apabila dikatakan memutar belit kenyataan mereka.

Perkara ini sering berlaku apabila kenyataan artis mendapat reaksi masyarakat hingga mereka hilang punca terus menuding jari melepaskan kesalahan kepada media.

Yasmin Hani contohnya, apabila kenyataannya mengenai hukuman merotan sudah tidak relevan lagi pada masa kini menyentuh hati-hati pendidik, pada mulanya memohon maaf tetapi selepas itu salahkan media pula.

Sebaiknya fikir dulu sebelum berkata-kata kerana kesannya mungkin besar kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:09 AM