Bangi: Menggunakan kuda sendiri diharap mampu membantu atlet ekuestrian negara menyerlah di Sukan SEA 2015 Singapura untuk sekurang-kurangnya meraih dua pingat emas dalam acara dressage dan show jumping.

Menurut Chef de Mission Sukan SEA Singapura, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria membawa kuda sendiri dijangka mampu memberi kelebihan buat atlet negara tidak seperti temasya yang sama dua tahun lalu di Myanmar.

“Ketika di Sukan SEA 2013 Myanmar kita menggunakan kuda pinjaman, dengan menggunakan kuda sendiri pada tahun ini, saya harap mereka mampu beraksi dengan cemerlang,” katanya di majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan ekuestrian di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) semalam.

Jelasnya, walaupun hampir kesemua kuda akan ke Singapura menggunakan pengangkutan darat sama seperti atlet, beliau mengharapkan perkara itu tidak memberi masalah besar buat skuad ekuestrian negara.

Tujuh atlet ekuestrian bersama kuda masing-masing akan mengambil bahagian di temasya dwi tahunan itu. Mereka ialah Mohd Nabil Fikri Ismail (Urgola), Natasha Ines Wah Idris (Wachinta), Ahmad Imtaz Amir Hamzah (PRTC Gin Fizz Van De Gathoeve), Sharmini Christina Ratnasingham (Arcado) bagi acara show jumping.

Selain itu untuk acara dressage pula ialah Muhammad Shaiful Azwan Mohamad Din (Thor De Martinpre), Natalya Aira Wah Idris (Tallong Coral) dan Mohd Izry Razali (Cookie N Cream).

Dua tahun lalu di Myanmar skuad ekuestrian negara meraih tiga emas dalam acara endurance individu dan berpasukan serta dressage.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 7:27 AM