mutakhir

2,000 ahli PKR Pasir Puteh keluar parti

Oleh Nor Amalina Alias

SERAMAI 2,000 ahli PKR Cabang Pasir Puteh, Kelantan bertindak keluar parti, malam tadi selepas kecewa dan hilang kepercayaan dengan pucuk pimpinan.

Pengisytiharan itu dilakukan tepat jam 10.30 malam tadi oleh Pengerusi Penggerak Maufakat Nasional Pasir Puteh, Nik Mohd Noor Azwan Mustapha dan disaksikan bekas Ketua Cabang Ketereh, Ab Aziz Ab Kadir yang juga bekas ahli Majlis Pimpinan negeri.

Ab Aziz berkata, pengisytiharan keluar parti itu adalah siri kedua selepas pihaknya dan dua lagi cabang PKR iaitu Kubang Kerian dan Rantau Panjang bertindak meninggalkan parti itu Rabu lalu.

Katanya, kekecewaan anggota terhadap parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat dibendung lagi dan dijangka lebih ramai akan mengumumkan keluar PKR.

“Presiden sibuk nak jadi PM (Perdana Menteri) sehingga parti huru hara.

“Kami juga kecewa sekian lama dengan pengurusan dan proses pemilihan pemimpin dalam parti selepas puluhan tahun taat setia,” katanya ketika ditemui dalam majlis pengisytiharan itu di Bachok, malam tadi.

Ab Aziz berkata, malam ini pula anggota cabang Bachok dijangka turut mengumumkan keluar parti.

Dalam pada itu, Nik Mohd Noor Azwan berkata, 2,000 anggota yang keluar parti malam tadi adalah dua pertiga ahli PKR Cabang Pasir Puteh sekaligus menjadikan cabang PKR itu lumpuh selepas lebih 20 tahun mendokong PKR di Kelantan.

“Jika semakan pemilihan lalu, kita peroleh lebih 3,000 anggota dan kini lebih 2,000 ahli bertindak keluar parti, jadi boleh dikatakan PKR Cabang Pasir Puteh terkubur,” katanya.

Sementara itu, warga emas, Che Hussin Daud, 64 berkata, dia bertindak keluar parti bukan saja kerana isu pemecatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin tetapi juga kerana hilang kepercayaan kepada parti atas faktor penipuan.

Katanya, ini termasuk soal pemilihan cabang pada tahun 2018 lalu yang dilihat banyak penipuan dilakukan termasuk pemilihan pemimpin, proses pengundian dan layanan terhadap calon yang bertanding.

“Kami dimaklumkan jika tidak berpuas hati boleh kemukakan selepas pemilihan, bila kita hantar memorandum tidak dilayan pula, seperti pendapat kami tidak penting, jadi apa guna kami jadi ahli?

“Selepas dilayan begini, kami fikir lebih baik keluar parti saja,” katanya yang menyertai PKR sejak zaman reformasi tahun 1997.

Terdahulu, anggota yang mengumumkan keluar parti bertindak menanggalkan baju rasmi bertulisan PKR sebagai tanda gimik mereka meninggalkan parti itu.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 10:50am
    d