KEM dipercayai menempatkan pendatang asing yang dijumpai di Bukit Wang Burma, Wan Kelian. FOTO Bernama
KEM dipercayai menempatkan pendatang asing yang dijumpai di Bukit Wang Burma, Wan Kelian. FOTO Bernama
Oleh Aizat Sharif

Kangar: Penggalian fasa kedua tapak kubur dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditemui di sekitar Bukit Wang Burma di Wang Kelian akan disambung semula menggunakan laluan di Thailand pada Rabu.

Ketua Polis Perlis, Senior Assisten Komisioner Shafie Ismail berkata, pasukan forensik polis akan mula bergerak ke Bukit Wang Burma menggunakan laluan Thailand di Ban Teluk, Padang Besa, Thailand.

“Kita sudah pun mendapat kebenaran daripada pihak polis Thailand untuk menggunakan laluan mereka bagi membawa turun mayat daripada kerja-kerja penggalian yang dilakukan di kawasan itu,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, operasi pada Rabu membabitkan penggalian 91 buah kubur lagi berhampiran empat kem yang berada di lokasi itu.

“Buat masa sekarang (Isnin) hingga hari ini (Selasa), pasukan forensik akan berehat terlebih dahulu serta menyiapkan kelengkapan yang akan dibawa ke bukit itu pada Rabu nanti,” katanya.

Shafie menjelaskan bahawa perjalanan mendaki menggunakan laluan di Ban Teluk hanya memakan masa kira-kira satu jam kerana kawasannya yang landai berbanding pendakian di laluan Wang Kelian yang memakan masa antara dua hingga ke tiga jam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 4:03 PM