Kuala Lumpur: Bank Islam (M) Bhd (Bank Islam) menyasar saiz dana sebanyak RM2 bilion bagi produk yang baru dilancarkan, Akaun Pelaburan Waheed (WIA Wakalah) dan Akaun Pelaburan Khas (Mudarabah) di bawah Akaun Pelaburan Bertempoh dalam enam bulan akan datang.

Ketua Pegawai Strategi Pejabat Pengarah Urusan, Hizamuddin Jamalludin berkata, akaun berkenaan disasarkan dalam kalangan pelabur, pelanggan korporat, agensi-agensi kerajaan, universiti serta perusahaan kecil dan sederhana.

Beliau berkata, akaun lain yang turut dilancarkan semalam ialah Akaun Al-Awfar dan bank itu juga merancang untuk mengekalkan saiz dana sebanyak RM2 bilion di bawah Akaun Pelaburan Transaksi, dengan 1.2 juta pemegang akaun bagi Akaun Al-Awfar, yang menyasarkan individu dan institusi runcit.

Bank Islam adalah bank Islam pertama yang menawarkan produk yang mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Akaun Mudarabah dan Wakalah WIA tersedia untuk pelanggan korporat di seluruh negara mulai semalam, manakala Akaun Al-Awfar yang memenuhi keperluan individu, mulai 3 Jun ini.

“Dengan pengenalan produk kewangan inovatif ini, Bank Islam kini menyediakan pelbagai jenis pilihan pelaburan patuh syariah dengan perbezaan profil risiko-pulangan kepada pendeposit dan pelabur kami,” katanya pelancaran ketiga-tiga akaun itu, semalam.

Mengenai prospek bank, Hizamuddin menjangka pertumbuhan 15 peratus bagi tahun ini, yang terbukti sangat mencabar bagi industri perbankan.

“Kami menjangkakan pertumbuhan ini berdasarkan kunci kira-kira semasa kumpulan. Tahun ini, kami menjangka pertumbuhan lapan hingga sembilan peratus bagi perbankan industri,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 6:39 AM