Oleh Syazwan Msar

Pekan: Lebih 150 pendatang asing tanpa izin (PATI) bertempiaran lari apabila anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen menyerbu tapak projek pembinaan bangunan lapan tingkat dalam operasi 6P di bandar ini, kira-kira 11.30 pagi tadi.

Malah, ada antara mereka bersembunyi di sebalik tiang di tingkat lapan bangunan berkenaan tanpa memikirkan risiko kehilangan nyawa.

Selain itu, ada yang berlari ke arah hutan berhampiran dalam usaha mengelak daripada ditahan penguatkuasa.

Dalam operasi dua jam itu, seramai 34 PATI termasuk dua wanita ditahan kerana tidak memiliki dokumen yang sah.

Mereka yang ditahan membabitkan 10 warga Bangladesh, Indonesia (23) dan Thailand (seorang).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 September 2014 @ 2:23 PM