Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Sepang: Malaysia Airlines Bhd (MAB), syarikat baru Malaysian Airlines System (MAS) akan melaksanakan 40 projek pemulihan semula perniagaan bagi mengembalikan syarikat penerbangan negara itu ke landasan pertumbuhan masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller berkata, projek pemulihan itu akan membabitkan semua peringkat perniagaan syarikat termasuklah daripada segi sumber pendapatan, pengurusan kos dan kemahiran.

Beliau berkata, idea utama projek itu untuk menyatukan pelbagai fungsi tugas yang tidak sekata sebelum ini sehingga mencetuskan pelbagai masalah di peringkat operasi.

“Dalam tempoh tiga bulan akan datang, seorang ketua dikenal pasti dan dilantik bagi setiap projek yang dilaksanakan bermula 1 September 2015.

“Langkah itu bagi membolehkan MAB dapat dikembalikan semula kepada paras kos berdaya saing manakala pelaksanaan 40 projek ini dibuat semasa fasa kedua pelan pemulihan MAS dalam tempoh antara 2015 hingga 2018,” katanya pada taklimat media mengenai syarikat baru MAS di sini, semalam.

Ini kali pertama Mueller mengadakan sidang media sejak dilantik mengetuai proses penstrukturan semula perniagaan MAS dan sekali gus memimpin MAB bermula 1 September ini.

MAB akan mula beroperasi pada 1 September ini dengan sokongan 14,000 kakitangan. Ia memohon Sijil Operasi Penerbangan (AOC) baharu dan memohon memindahkan kod MH dari syarikat lama ke syarikat baru. Proses memindahkan kontrak, aset dan liabiliti dari MAS kepada MAB bermula sejak seminggu lalu di bawah pengawasan pentadbir dilantik.

Sementara itu, MAB akan mengekalkan penerbangan domestik dan antarabangsa MAS serta memberi tumpuan kepada struktur kos kompetitif bagi memenuhi matlamat menjadi peneraju serantau menjelang 2018.

Mueller berkata, MAB menjamin tidak akan berlaku satu pun pengurangan kapasiti dalam rangkaian penerbangan domestik kumpulan manakala rangkaian antarabangsa akan menyaksikan sedikit perubahan yang akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang, namun perubahan yang tidak terlalu ketara.

“Apa ingin saya tegaskan hari ini, MAB tidak akan dirujuk sebagai syarikat penerbangan serantau, ia menjadi syarikat penerbangan antarabangsa penuh,” katanya sambil menambah rangkaian penerbangan domestik MAB turut disokong anak syarikat Firefly dan MASWings, akan kekal sepenuhnya apabila syarikat baru itu memulakan operasinya 1 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 6:43 AM