rap

Miss Diva sangat cerewet

Oleh Syafil Syazwan Jefri

ALANG-ALANG menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Itulah pepatah yang dipegang artis versatil, Ifa Raziah yang juga menggelarkan dirinya sebagai Miss Diva.

Terbaru, Ifa hadir dengan lagu berjudul Miss Diva hasil ciptaan Ressa Herlambang dan Hafiz Hamidun.

Kerja keras Ifa nampaknya membuahkan hasil apabila video muzik lagu baru itu berkualiti tinggi umpama penghasilan sebuah filem epik.

“Saya adalah manusia yang melakukan kerja dengan sepenuh hati. Dari situ, saya

mendapat hasil seperti mana yang diinginkan kerana saya sangat cerewet meletakkan piawaian untuk hasil kerja,” katanya.

Untuk rakaman video muzik Miss Diva, Ifa dan pasukannya menghabiskan masa selama 24 jam untuk disiapkan.

“Proses rakaman video muzik ini memakan masa yang sangat lama sekitar satu hari. Tapi, Alhamdulillah dengan kesungguhan semua yang terbabit, dapat juga disiapkan dengan hasil yang baik.

“Cabaran terbesar saya adalah apabila terpaksa bekerja untuk menyiapkan video muzik ini dalam keadaan mengalami demam dan tidak sihat. Namun, saya gagahkan semangat,” katanya.

Berbicara lanjut mengenai lagu itu, Ifa sengaja melabelkan dirinya sebagai ‘Miss Diva’ walaupun tahu pasti ada pihak yang menganggap ia seperti masuk bakul angkat sendiri.

“Saya tak kisah kerana kalau ada kontroversi dan kecaman, baru orang akan nampak. Kalau kena maki pun tak ada masalah.

“Kalau saya nak letakkan Miss Universe, atau apa-apa gelaran ‘Miss’, semuanya sudah ada orang yang pegang. Gelaran Miss Diva saja yang saya rasa tak ada orang pegang. Jadi, saya ambil untuk jadikan judul lagu,” katanya.

Ini bukanlah kali pertama Ifa berkolaborasi bersama Hafiz memandangkan sebelum ini, Hafiz pernah menghasilkan beberapa lagu untuknya.

“Ini lagu ketiga ciptaan Hafiz kepada saya. Yang terakhir sebelum ini berjudul Starlela, menampilkan saya menyanyi bersama Zizi Kirana dan Bella Astilah. Apapun, saya yakin dengan kemampuan Hafiz dan dia tahu cara kerja dan kehendak saya.

“Alhamdulillah, rakaman lagu kelapan saya ini pun berjalan lancar dan mendapat kerjasama yang baik daripada komposer bersama dari Indonesia, Ressa Herlambang,” katanya.

Secara ringkasnya, video muzik Miss Diva berkisar mengenai karakter seorang ratu yang berkuasa dan tidak mahu direndahkan orang lain daripada segi kekayaan, kekuasaan dan juga kejelitaannya.

Diarahkan Syahid Rushdan, video muzik yang mencecah kos penggambaran ratusan ribu ringgit itu dimaklumkan mendapat tajaan barangan kemas mewah bernilai lebih RM3 juta.

Disiarkan pada: March 6, 2020 @ 6:44am
d