AZADDIN (tengah) bergambar bersama kakitangan AKPK dan agensi pada Majlis Perasmian Hari Terbuka AKPK 2015.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman


Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang (AKPK) menjangkakan bakal menyelesaikan kira-kira 1,400 kes masalah kredit pelanggan dengan anggaran nilai keseluruhan RM56 juta menjelang Disember 2015 berbanding 2,167 bilangan kes sepanjang tahun lalu membabitkan jumlah nilai penyelesaian bernilai RM95.5 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir berkata, rekod dari Januari hingga 30 April lalu menunjukkan AKPK berjaya menyelesaikan 818 kes kredit pelanggan berjumlah RM36 juta.

“Sejak 2007 hingga kini, seramai 336,563 pelanggan melalui proses khidmat kaunseling manakala 129,495 lagi membabitkan diri dalam Program Pengurusan Kredit (PPK). Daripada jumlah itu, 7,630 orang dibantu membayar hutang mereka yang bernilai RM314.4 juta,” katanya pada majlis perasmian Hari Terbuka AKPK, di sini.

Beliau berkata, program itu bermatlamat untuk mendidik dan mengubah tanggapan masyarakat terhadap AKPK kerana organisasinya bukan saja untuk golongan yang mempunyai masalah hutang, malah sesuai bagi semua peringkat umur yang mahu pendidikan daripada aspek kewangan.

“Misi kami hari ini adalah untuk mendekati masyarakat kerana kebanyakan mereka mempunyai satu persepsi negatif terhadap AKPK. Dengan adanya program seperti ini, ia mampu menjelaskan bagaimana AKPK beroperasi dan mampu berkhidmat untuk rakyat Malaysia.

“Mengikut statistik, 70 peratus individu mendaftar berpendapatan bawah RM4,000 sebulan dan majoriti pelanggan kami terdiri daripada golongan berumur dari 25 hingga 45 tahun. Ini membuktikan bahawa mereka gagal merancang kewangan secara teratur lalu menyebabkan timbul pemasalahan hutang di usia yang masih muda,” katanya.

Azaddin berkata, AKPK menyediakan empat modul berbeza untuk generasi muda, pelajar institusi tinggi, golongan baru mendirikan rumah tangga serta pesara bagi memberikan khidmat seperti taklimat penggunaan kredit dan pengurusan asas kewangan supaya dapat meningkatkan keyakinan dan kebolehan mereka untuk membuat keputusan secara bijak.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan pembabitan orang ramai terutama yang berdepan masalah berkaitan menstruktur semula kewangan dengan harapan dapat meringankan beban sekali gus membantu menyelesaikan pinjaman hutang tertunggak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 6:36 AM