Skuad tenis negara tidak mahu berada di Singapura hanya untuk melancong, malah bertekad sekurang-kurangnya menghadiahkan tiga pingat buat rakyat Malaysia.

Menurut pengurus pasukan Si Yew Ming, beliau percaya anak buahnya mampu memberi cabaran kepada kuasa besar acara berkenaan seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam.

“Pada edisi 2013 di Myanmar acara ini tidak dipertandingkan dan sebelum itu di Indonesia, kami tidak membariskan pasukan terkuat,” katanya selepas upacara menaikkan bendera, Jalur Gemilang di perkarangan Kompleks Hab Sukan di Singapura semalam.

Jelasnya, apa yang membezakan prestasi pasukan berbanding di temasya sebelum ini adalah mereka mempunyai atlet pelapis yang mantap.

“Kami juga mampu menurunkan beberapa pemain berpengalaman untuk membantu menaikkan semangat pasukan.

“Kami harap sekurang-kurangnya dapat meraih tiga gangsa kali ini,” kata bekas pemain negara itu.

Tambahnya, tiga pingat disasarkan itu dijangka diraih melalui acara berpasukan, beregu dan beregu campuran.

Skuad tenis lelaki dibarisi Mohd Assri Merzuki, Muhammad Ashaari Zainal Abidin, Syed Mohammad Agil Syed Naguib dan Ariez Elyaas Deen Heshaam.

Pemain wanita pula membabitkan Jawairiah Noordin, Theiviya Selva Rajoo dan Yus Syazlin Nabila Yusri ma

Acara tenis akan berlangsung di Pusat Tenis Kallang Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 9:06 AM