Oleh Aizat Sharif

Padang Besar: Pasukan forensik dan Pasukan Gerakan Am (PGA) memulakan tugasan mereka untuk kerja penggalian semula di kem kurungan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Bukit Wang Burma, Wang Kelian menggunakan laluan di Thailand pada pagi ini.

Kumpulan pertama itu bertolak pada 9 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, menggunakan kenderaan Land Rover milik PGA dan dua trak pikap milik pasukan forensik.

Mereka akan menggunakan laluan di Ban Ta Lok di Padang Besar, Thailand untuk ke bukit itu.

Difahamkan rombongan pasukan itu turut sama membawa peralatan seperti set generator, peralatan untuk kerja penggalian dan bahan makanan.

Sumber polis memberitahu pasukan kedua dijangka akan bertolak pada petang ini atau seawal pagi esok.

Perjalanan ke Bukit Wang Burma, Wang Kelian adalah agak mudah dan hanya memerlukan satu jam perjalanan pendakian disebabkan kawasannya yang agak landai.

Manakala pendakian melalui laluan Malaysia pula agak berliku dimana perjalanan ke bukit itu memakan masa antara dua hingga empat jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 10:44 AM