X
Reuters

Bangkok: Seorang pegawai tentera Thailand berpangkat Jeneral yang dituduh terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia di negara itu menyerah diri kepada pihak berkuasa semalam.

Leftenan Jeneral Manus Kongpan adalah suspek paling berprofil tinggi yang dikehendaki pihak berkuasa dalam operasi membanteras sindiket berkenaan.

Sebanyak 84 waran tangkap dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan seramai 51 suspek berjaya ditahan atau menyerah diri.

Di samping itu, Manus berkata, beliau sedia berdepan undang-undang dan dibicarakan.

“Saya hanya mahukan keadilan dan bersedia memberi kerjasama penuh kepada polis,” katanya.

Menurutnya, dia akan menyerah diri di sebuah balai polis di Padang Besar lokasi sindiket penyeludupan manusia dipercayai beroperasi.

“Tidak kira apa keputusan mahkamah, saya sedia menerimanya,” tambahnya.

Manus, 53, bertugas di wilayah selatan Thailand itu sejak 2007 sebelum dilantik sebagai penasihat pada April lalu.

Dia adalah pegawai pemerintah tentera di wilayah Songkhla dan Chumphon.

Operasi terhadap sindiket berkenaan dilancarkan selepas beberapa kem penyeludupan manusia dan kubur pendatang ditemui di sempadan Thailand dan Malaysia.

Pendatang itu adalah etnik Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh yang berhijrah untuk mencari suaka politik serta pekerjaan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Thailand, Prawit Wongsuwan menegaskan Manus masih dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah.

“Dia masih lagi suspek dan belum dibuktikan bersalah,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 11:09 AM