ANGGOTA bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam perigi. FOTO ihsan bomba
Oleh Maiamalina Mohamed Amin


Pasir Mas: Seorang wanita berusia 51 tahun berjaya diselamatkan selepas dua jam terperangkap dalam perigi di Kampung Gaung, Tendong, di sini.

Kejadian kira-kira 5.20 pagi itu dipercayai berlaku selepas mangsa, Kamariah Mohamed terpijak penutup perigi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, El Taraff Mohammed Zachariah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.33 pagi dan lima pegawai serta anggota tiba di lokasi pada 5.44 pagi.

"Kerja penyelamatan dilakukan menggunakan sistem tali untuk menaikkan mangsa dibantu seorang anggota yang masuk ke dalam perigi.

"Mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat pada 7.30 pagi dan dibawa ke Klinik Kesihatan Tendong," katanya ketika dihubungi.

Beliau juga berkata, mangsa yang kini stabil, bernasib baik kerana air dalam perigi hanya separas paha iaitu kira-kira satu meter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 12:07 PM