Oleh Muhammad Saufi Hassan

Gombak: Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), hari ini, meluluskan sebulat suara usul tergempar untuk membatalkan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan DAP.

Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik yang membawa usul itu turut menjelaskan bahawa, kerjasama politik itu hanya dibatalkan dengan DAP, namun PAS masih kekal sebagai parti pakatan pembangkang.

"DUPP mencadangkan bahawa Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan DAP yang dilihat terus menyerang parti itu serta mencampuri urusan dalaman PAS.

"Usul ini adalah rentetan daripada serangan bertali arus oleh DAP terhadap Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), terhadap PAS sendiri dalam mempersoalkan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah Kelantan," katanya.

Mokhtar berkata, DAP konsisten menyerang Presiden PAS dengan pelbagai tohmahan, kutukan secara berterusan termasuk beberapa siri provokasi sekali gus melanggar prinsip tahaluf siyasi yang dipersetujui sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 7:08 PM