Operasi mencari pesawat yang didakwa terhempas. FOTO ihsan JPAM Gua Musang
Oleh Maiamalina Mohamed Amin - Muhamaad Razis Ismail dan Siti Norhidayatidayu Razali


Kota Bharu: Tiada sebarang tanda mahupun serpihan pesawat yang didakwa terhempas di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, Gua Musang, malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Azmi Osman berkata, sehingga jam 11.30 malam tadi, pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk berhubung kejadian itu.

"Kami terima panggilan memaklumkan maklumat daripada MERS 999 bahawa ada pesawat dikatakan terbang rendah dan berkemungkinan terhempas pada 8.45 malam.

"Jentera awal dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang ke tempat kejadian pada 8.50 malam dibantu beberapa jentera lain dari Kuala Krai dan balai bomba terdekat.

"Operasi mencari masih berjalan sehingga kini (11.30 malam) dan tidak menemui sebarang tanda yang menjurus kepada insiden pesawat terhempas.

"Bagaimanapun, kami masih meneruskan lagi operasi mencari untuk kepastian selanjutnya," katanya ketika dihubungi.

Beliau turut berhubung dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Pengkalan Chepa yang menjelaskan tidak menerima sebarang panggilan kecemasan.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Gua Musang turut menyertai operasi mengesan pesawat yang didakwa terhempas itu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim turut mengesahkan tiada insiden pesawat terhempas di Gua Musang.

Sumber Markas 8 Briged Pengkalan Chepa pula memaklumkan pihaknya tidak memperoleh sebarang maklumat berhubung kemalangan itu termasuk yang membabitkan pesawat milik Angkatan Tentera Malaysia.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Jeram Tekoh Mohd Riduan Jaafar, 25, berkata, pada jam 9.30 malam dia melihat dua jentera bomba melalui kampungnya untuk ke lokasi kejadian yang jauh dari rumah penduduk kampung.

"Jam 9 malam, saya mendengar maklumat daripada penduduk kampung yang memaklumkan ada pesawat terhempas.

"Saya tidak pergi ke lokasi kejadian kerana ia jauh dari rumah iaitu lebih 15 kilometer dan kawasan yang gelap," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 12:14 AM