Konsep permainan yang sempurna mungkin sukar ditafsirkan. HAZRIL MD NOR akui teknik penceritaan yang kreatif mampu membuatkan pemain mengenang kehebatan permainan video.

Jika ingin menilai keseronokan bermain permainan video secara menyeluruh, bukan hanya konsep permainan perlu diutamakan. Selain ciri penting itu, plot permainan ataupun penceritaan memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah permainan video.

Sebagai contoh, plot yang menarik dan pembentukan karakter yang realistik menunjukkan pengeluar menggunakan idea baru untuk menarik golongan sasar. Dari segi penceritaan, pemain boleh menyelami bagaimana rasanya menjadi karakter yang perlu berdepan segala rintangan.

Starcraft II

Penulis yakin judul Starcraft sudah sinonim dengan ‘gamers’. Selain konsep strategi dan keseronokan berterusan, Starcraft popular dengan mod ‘campaign’ yang original dan tidak ‘cliche’.

Plotnya yang berkisar mengenai tiga puak utama iaitu Protoss, Zerg dan Terran ternyata seronok dihayati. Setiap puak itu mempunyai budaya, cara hidup dan set kekuatan berbeza bergantung pada teknologi.

Malah, Starcraft membawa pemain mengalami transformasi di angkasa lepas dengan mengenali puak alien secara lebih dekat serta habitat mereka. Ketiga-tiga puak ini juga sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan peperangan mereka tiada mengenal titik noktah.

Dalam Starcraft juga, setiap karakter menjadi simbol ikonik dan peranan mereka sangat penting dalam menentukan nasib setiap koloni serta masa depan mereka yang tidak tentu.

Selain itu, Starcraft mempunyai pembentukan karakter unik seperti Sarah Kerrigan yang bersifat ‘hybrid’ iaitu gabungan DNA Terran dan Zerg. Hasilnya, Kerrigan mempunyai sifat kepimpinan yang berkesan dan semangat berjuang tinggi.

Alan Wake

Kebiasaannya setiap permainan video akan memaparkan karakter yang kuat dan gagah sebagai watak utama. Namun, Alan Wake mempunyai formula tersendiri yang menarik perhatian semua.

Ia berkisarkan kehidupan Alan Wake sebagai novelis terkenal yang menghadapi masalah ‘writer’s block’. Dia kemudian mengembara bersama isterinya ke Washington untuk mencari ilham dan inspirasi namun nasibnya malang kerana kehidupannya berubah selepas tiba di sana.

Bab paling menarik mengenai plot Alan Wake ialah konsep halusinasi mengakibatkan karakter utama, Alan yang perlu berdepan ketakutan demi mencari isterinya yang hilang.

Disebabkan dirinya berada dalam alam khayalan, Alan kerap berdepan dengan ‘shadows’ yang berniat untuk membunuhnya. Namun, dalam kesulitan itu Alan menerima bantuan dari entiti yang membenarkan Alan melawan ketakutan dengan cahaya.

Dengan hanya berbekalkan lampu suluh dan senjata api, Alan perlu menempuh cabaran melawan ketakutan yang akan menguasai dirinya.

Dalam permainan ini, segala kejadian yang berlaku sepanjang pengembaraan Alan akan direkod dalam buku catatannya. Lebih lama anda dalam permainan ini, lebih banyak misteri terjawab dan yang pasti realiti menjadi mimpi dan sebaliknya.

The Last of Us

Tidak dinafikan, judul ini bukan nama asing dalam arena permainan video. The Last of Us popular dengan teknik penceritaannya yang kreatif dan karakternya yang dibentuk dengan baik. Ia berkisarkan mengenai pengembaraan Joel dan Ellie dalam usaha mencari penyelesaian dalam dunia yang sudah musnah dilanda wabak ‘zombie’.

Plotnya lebih tertumpu pada hubungan Joel dan Ellie sebagai ayah dan anak walaupun mereka tiada ikatan persaudaraan. Ketika mengembara itu, mereka menempuh pelbagai rintangan dari mayat hidup dan manusia biasa.

Jika diperhatikan dengan teliti, teknik penceritaannya lebih realistik kerana ia setiap karakter mempunyai perasaan, dendam dan tanggungjawab.

Misalnya, Joel sentiasa melindungi Ellie yang masih kanak-kanak dan agak lemah. The Last of Us juga menceritakan bagaimana seorang kanak-kanak menempuhi kematangan dengan kadar lebih cepat daripada biasa disebabkan apa yang berlaku di sekelilingnya. Ia juga mengutamakan bagaimana seseorang perlu terus berjuang demi mengejar kebebasan untuk terus hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 11:58 AM