ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran gudang. FOTO ihsan bomba
Oleh Ardyhansah Amat

Penampang: Sebuah gudang menyimpan barangan kosmetik hampir musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Contoh, Putatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian 7 pagi itu, 80 peratus gudang berstruktur kekal itu musnah bersama stok barangan yang disimpan di dalamnya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd Affendy Ramin ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi mengesahkan kejadian tersebut.

"JBPM menerima panggilan kecemasan pada 7.18 pagi tadi dan tiba di lokasi kejadian 12 minit kemudian.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai JBPM Penampang bertungkus-lumus memadam kebakaran dan api berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit.

"Sehingga kini kami masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian yang ditanggung pemilik gudang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 12:41 PM