FOTO Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham

Dungun: Seorang lelaki warga Myanmar maut dirempuh kereta ketika melintas jalan di Kilometer 101.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhadapan Masjid Hadhari Paka, di sini, malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Nor Islam, 46, parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan kira-kira 11.30 malam itu dipercayai berlaku ketika mangsa sedang melintas jalan sebelum dirempuh sebuah kereta Honda City yang datang dari arah Kuantan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 1:14 PM