PEMAIN Malaysia, Saarvindran Devandrn (kanan), mengawal bola ketika perlawanan ketiga Kumpulan B. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENJAGA Gol Malaysia, Mohd Farhan Abu Bakar (tengah), mengawal keadaan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PEMAIN Malaysia, Saarvindran Devandrn (kiri), mengawal bola daripada pemain Thailand, Suriya Singmui. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Daripada Lokman Zainal Abidin dan Aziman Rosdi dan Ferzalfie Fauzi di Singapura

Singapura: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara boleh melupakan hasrat untuk mara ke separuh akhir selepas tewas 0-1 kepada juara bertahan Thailand B-23 pada aksi ketiga Kumpulan B Sukan SEA Singapura di Stadium Bishan, hari ini.

Walaupun berbaki dua perlawanan menentang Brunei dan Laos selepas ini, agak sukar untuk anak buah Datuk Ong Kim Swee menggugat peluang Thailand dan Vietnam bagi mengisi slot dua pasukan teratas kumpulan ke pusingan seterusnya.

Tekanan lebih dirasai skuad negara apabila perlu menang ke atas Thailand selepas tumpas 1-5 kepada Vietnam Selasa lalu dan hanya mengumpul tiga mata hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Timor Leste pada perlawanan pertama kumpulan.


Beraksi dalam cuaca panas tidak memberi kesan kepada Thailand yang dibimbing Choketawee Promrut untuk mendominasi permainan pada babak pertama.

Peluang terbaik negara hadir pada minit ke-13 menerusi larian kapten Gary Steven Robbat namun rembatan leretnya tersasar.

Thailand juara 14 kali hampir di depan di minit ke-27 mujurlah tandukan pemain tengah Thitiphan Puangjan sekadar melepasi palang.

Walaupun Thailand meneruskan penguasaan mereka menerusi pemain lincah 'Messi Jay' Chanathip Songkrasin, Malaysia turut berjaya mengancam menerusi sepakan lencong penyerang Syahrul Azwari Ibrahim pada separuh masa kedua.

Gol kemenangan Thailand dihasilkan oleh kapten Sarach Yooyen pada minit ke-81 yang merembat deras bola menewaskan Mohd Farhan Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 6:31 PM