AFP

Madrid: Bagi standard luar biasa Lionel Messi, 2014 adalah tahun yang perlu dilupakan. Buat kali pertama dalam tempoh enam tahun dia tidak meraih sebarang trofi pada peringkat kelab bersama Barcelona, selain peluang terbaiknya memenangi Piala Dunia bersama Argentina berkecai.

Persembahan lesunya terutama pada peringkat kalah mati Piala Dunia, di sebalik dinamakan sebagai pemain terbaik kejohanan secara kontroversi, menyebabkan ramai percaya pemain itu tidak boleh kembali ke tahap yang menyaksikannya muncul pemain pertama memenangi anugerah Pemain Terbaik Dunia empat kali berturut-turut antara 2008 dan 2012.

Setahun kemudian, persembahan Messi dalam enam bulan terakhir mungkin membayangi semua kekecewaan itu.

Selepas seketika bertelagah dengan jurulatih Luis Enrique apabila Messi diketepikan bagi perlawanan pertama tahun ini kerana pulang lewat berbanding rakan sepasukannya berikutan cuti rehat musim sejuk, Messi berjaya mengemudi Barcelona daripada ambang krisis kepada ambang tiga trofi apabila mereka berdepan Juventus pada final Liga Juara-Juara, awal pagi Ahad ini.

“Tahun lalu saya mengalami musim yang tidak konsisten. Saya diketepikan lama kerana kecederaan dan terlepas banyak perlawanan. Apabila saya kembali ke padang, saya tidak pernah berasa selesa,” jelas Messi.

“Ia tahun yang cuba saya lupakan secepat mungkin dan memulihkan semula prestasi terbaik semuanya kerana kerja keras serta usaha tidak mengenal penat-lelah dan syukurlah kini saya berasa amat bagus.”

Perubahan Messi secara fizikal berikutan peralihan radikal dari segi diet pemakanan. Pemain berusia 27 tahun itu dilaporkan susut 3.5 kilogram sejak dibimbing pakar diet Itali, Giuliano Poser pada awal musim ini.

Messi yang lebih langsing bukan saja menghampiri penamat musim dalam keadaan fizikal menakjubkan di sebalik beraksi semua kecuali 70 minit aksi Barca dalam La Liga dan Liga Juara-Juara, dia juga berjaya memulihkan tahap larian pantas yang menjadikannya secara praktik sukar dikekang.

Pada final Piala Raja Sepanyol menentang Athletic Bilbao hujung minggu lalu, dia menjaringkan gol paling mengagumkan daripada 412 jaringan bersama Barcelona dengan mempamerkan kombinasi kekuatan, kepantasan dan kemahiran menakjubkan apabila melepasi empat pertahanan Athletic sebelum menyumbat masuk.

Malah, jurulatih yang amat mengenali Messi tidak berkuasa menghalangnya. Menjelang kembalinya Pep Guardiola ke Nou Camp sebagai bos Bayern Munich, beliau menegaskan prestasi semasa Messi bermakna “tidak ada sistem atau jurulatih yang boleh menyekat kehebatan bakat pada tahapnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 7:38 AM