Denda RM8,000 hina polis 'beruk'

Zuliaty Zulkiffli
TERTUDUH(dua kiri) diiringi polis di Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli

MEKANIK dijatuhi hukuman denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini selepas mengaku bersalah menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Facebook pada 21 Mac lalu.

Mohd Fathi Hasan, 32, dari Jitra turut berdepan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Juraidah Abas selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) dengan niat menganiaya orang lain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Fathi dengan niat menghina anggota PDRM dengan memuat naik status di media sosial dengan mengeluarkan kenyataan menghina polis yang menjalankan tugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jitra, Kedah pada jam 7 malam, 21 Mac lalu.

Tertuduh melakukan perbuatan itu melalui aplikasi Facebook dengan membuat penghantaran komunikasi jelik mengatakan: “Berok Mari Pulok Doh.” berserta gambar anggota polis yang bertugas.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Zubaidah Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, gambar anggota polis yang dimuat turun dalam status lelaki itu dikatakan datang ke tempat itu untuk mengarahkan orang ramai yang dipercayai berhimpun di situ supaya bersurai disebabkan PKP.

Tertuduh ditahan di rumah sewanya di Taman Desa Murni.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 3:31 PM