JON, Raja Azrey dan Shazli serasi dalam Ekzos.
JON, Raja Azrey dan Shazli serasi dalam Ekzos.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Keserasian antara Raja Azrey, Jon dan Shazly dalam kumpulan Ekzos mula terbentuk sejak menyertai Maharaja Lawak Mega 2014.

Kejayaan bertahan sehingga minggu kelima sudah cukup membuktikan potensi kumpulan ini untuk mencabar populariti kumpulan lain.

Justeru, Ekzos dilihat seakan selesa apabila mendominasi saingan dalam Projek Komedi Warna dan seringkali menerima pujian juri iaitu Datuk Yusof Haslam, Ahmad Idham dan Fasha Sandha.

Malam ini penonton dapat menyaksikan siapa bakal ditabalkan sebagai juara Projek Komedi Warna yang bersiaran langsung dari Studio Pinewood Iskandar Malaysia, Johor Bahru menerusi saluran Astro Warna (132), jam 10 malam.

Bersaing di pentas final bersama empat lagi kumpulan iaitu Xoxo, Awok, Puteh dan Bora, anggota Ekzos mengambil pendekatan merendah diri, namun berjanji akan memberikan yang terbaik bagi meraih kemenangan.

Raja Azrey berkata, dia bangga kerana berjaya mencapai impian untuk berada di pentas final.

“Perasaan saya memang gembira kerana hasil usaha kami selama hampir sebulan setengah membuahkan hasil. Selepas terkandas pada minggu kelima MLM tahun lalu, memang kami jarang berjumpa.

“Apabila dihubungi pihak Astro bagi menyertai program ini, baru kami kembali bergabung untuk meneruskan perjuangan dalam genre komedi.

“Macam tak percaya dapat ke final. Tambahan pula kebanyakan yang bertanding adalah bekas peserta program realiti lain yang ada pengalaman dan bagus,” katanya.

Menurutnya, persiapan untuk malam ini dibuat sejak awal selepas mereka diumumkan layak ke final.

“Kami berbincang untuk gabungkan semula idea-idea yang tak pernah digunakan sebelum ini terutama idea yang pernah diguna pakai di pentas teater antara saya dan Shazli,” katanya.

Raja Azrey berkata, untuk tema malam ini iaitu parodi dan muzikal, Ekzos sudah ada ramuan tersendiri.

Menurutnya, mereka sebenarnya berdepan tekanan kerana sejak minggu pertama lagi sudah mendapat perhatian juri yang mengatakan lawak mereka sudah mencapai standard MLM.

“Sasaran untuk menang memang ada tapi rasanya semua kumpulan mempunyai impian itu. Seperti yang dijanjikan, mana-mana kumpulan yang ke final, akan layak ke persaingan MLM musim ini dan itu sasaran kami.

“Bagaimanapun, jika kami juara, ini adalah bonus buat kami. Sebenarnya program ini sangat berbeza daripada MLM kerana kandungannya yang ketat selain memenatkan kerana kami terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru setiap minggu,” katanya.

Dalam pada itu, Jon menyifatkan Puteh dan Bora sebagai pesaing terdekat dan menganggap mereka perlu bekerja keras jika ingin muncul juara.

Shazli pula bersyukur kerana tidak menyangka mampu ke pentas final terutama apabila melihatkan persaingan sengit daripada kumpulan lain.

“Ekzos tiada ‘main killer’ yang tetap. Semuanya penting kerana setiap orang mampu jadi ‘killer’ dan ada fungsi masing-masing tanpa berharap pada seorang individu.

“Kekuatan kami ialah pada jalan cerita dan penceritaan. Ramai pihak termasuk otai pengajar anggap kami kumpulan yang matang dalam penyusunan cerita,” katanya.

Tiga otai berbisa dalam dunia lawak tempatan iaitu Ilya Buang, Azlee Senario dan Mr Os dipilih menjadi mentor sepanjang program berlangsung, manakala Faizal Ismail bertindak sebagai hos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 11:12 AM