Anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bukit Katil membuat pemeriksaan selepas api berjaya dipadamkan. - Foto Mohamad Yatim Latip
Oleh Mohamad Yatim Latip

Melaka: Seorang nenek cemas selepas dapur gas digunakan untuk memasak sarapan pagi tiba-tiba disambar api dalam kejadian di Jalan Tun Kudu, Bukit Katil, 8.30 pagi tadi.

Mangsa Maimunah Anas, 59, berkata dia kemudian terus mengejutkan dua cucu dan anak perempuan yang sedang tidur dalam bilik.

"Selepas kami semua berada di luar rumah saya terus menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan bomba kerana risau api akan terus merebak.

"Syukur kami semua selamat dan kerosakan dialami pada bahagian dapur tidak serius," katanya.

Sepasukan anggota bomba tiba beberapa minit kemudian dan melakukan pemeriksaan berikutan api sudah padam.

Siasatan awal kejadian dipercayai akibat kebocoran pada tong gas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 4:35 PM