BENG Hai (dua kiri) memantau pemainnya ketika sesi latihan.
BENG Hai (dua kiri) memantau pemainnya ketika sesi latihan.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Jangan hilang fokus! Demikian tegas ketua jurulatih skuad hoki negara Tai Beng Hai kepada barisan pemainnya menjelang dua minggu sebelum berlangsung saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium, bermula 20 Jun ini.

Beng Hai berkata, mereka ketika ini memasuki fasa cukup penting untuk skuad negara memberi fokus sepenuhnya pada sesi latihan termasuk memperbaiki segala kelemahan.

“Saya harap pemain senior khususnya tidak hilang fokus untuk persediaan kita ke saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

“Kita sekarang berada di landasan betul. Selepas Piala Dunia tahun lalu, kita bekerja keras memperbaiki segala kekurangan dan proses itu berterusan sehingga kini,” katanya.

Menurut Beng Hai, keputusan perlawanan persahabatan baik ketika di Eropah awal bulan lalu atau bersama skuad remaja baru-baru ini untuk persiapan ke Belgium tidak begitu penting.

“Bagi saya, perlawanan itu semua peluang untuk pemain kita memperbaiki skil masing-masing.

“Ia juga kaedah terbaik untuk melihat komitmen setiap pemain apabila beraksi pada perlawanan sebenar,” katanya.

Belgium adalah misi yang cukup penting untuk skuad negara kerana saingan itu menawarkan tiket ke Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Belgium, Britain, China dan Ireland.

Kumpulan A pula dihuni Australia, Pakistan, Poland serta Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 5:08 AM