utama

'Sesal sekarang tak guna'

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“NASIB saya tidak baik, keluar rumah hanya untuk membeli mee segera sebelum ditangkap dan ditahan reman di penjara ini,” kata Man, 18, dari Kelantan ketika ditemui Harian Metro di Penjara Marang, semalam.

Pelajar tingkatan enam itu antara 17 tahanan di bawah kesalahan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Penjara Marang.

Man berkata, sepanjang PKP berkuat kuasa dia hanya berkurung di rumah dan bermain permainan video tetapi terpaksa keluar ke kedai pada waktu malam kerana lapar.

“Saya bersama sepupu menaiki motosikal ke kedai runcit lebih kurang satu kilometer dari rumah untuk membeli mee segera.

“Sebaik sampai ke kedai, pihak berkuasa datang membuat pemeriksaan seterusnya menangkap saya dan sepupu di bawah kesalahan ingkar kepada arahan PKP.

“Kami ditahan reman sebelum dibicarakan dan malangnya tidak tahu bila tarikh perbicaraan itu kerana sekarang PKP sedang berkuat kuasa,” katanya.

Dia berkata, dia ditahan di Penjara Marang kerana masih di bawah umur manakala sepupunya yang berusia 24 tahun kini berada di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang, Kelantan.

“Jika diikutkan saya boleh dijamin dengan nilai jaminan RM800 tetapi keluarga tidak mampu menyediakan wang jaminan itu.

“Saya sudah kematian bapa menyebabkan ibu terpaksa menjual nasi bajet untuk menyara keluarga seterusnya tidak mempunyai cukup wang untuk membayar wang jaminan.

“Sesal sekarang pun tiada guna kerana perkara sudah berlaku tetapi saya mengingatkan kepada orang ramai terutama remaja supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah membayangkan akan ditahan dan memasuki penjara seperti itu dan serik dengan perbuatannya itu.

“Saya bukan budak nakal dan tidak pernah melakukan jenayah, oleh itu berasa sangat tertekan apabila ditahan seperti ini.

“Memang salah saya kerana keluar pada waktu malam seterusnya melanggar arahan PKP oleh tidak menyalahkan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff berkata, sehingga 29 Mac lalu, jumlah tahanan PKP ialah seramai 17 orang.

“Daripada jumlah itu, 14 sudah dijatuhi hukuman manakala tiga lagi ditahan reman,” katanya.

Menurutnya, dia berharap orang ramai patuh kepada arahan PKP yang dikeluarkan untuk kebaikan semua seterusnya memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 1:05pm
    d