KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Kuala Selangor: Seorang maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuala Selangor-Tanjung Karang kira-kira 4 petang tadi.

Dalam kejadian itu pemandu lori satu tan maut manakala dua lelaki iaitu kelindan lori berkenaan serta pemandu kenderaan pacuan empat roda parah selepas kenderaan dinaiki dipercayai bertembung di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.04 petang sebelum sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Tanjung Karang diarahkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pemandu lori terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua mangsa yang parah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Dalam kemalangan itu lori terbabit terbalik dengan keempat-empat tayar di atas.

Difahamkan pemandu lori yang maut itu dikenali sebagai Harun Daud, 47 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 9:56 PM