Saya memandu Proton Persona berumur kira-kira dua tahun. Kini, saya mendapati bahan penyejuk kereta semakin berkurangan dan mempunyai kesan cecair di lantai seperti bocor, khususnya ketika enjin kereta dihidupkan.

Mengapa ia terjadi dan apakah yang patut saya lakukan?

SYED AZWAN SYED ZAKARIA

Johor

Ia mungkin berpunca kesan tumpah cecair penyejuk yang melimpah. Isi cecair penyejuk secukupnya sehingga takat maksimum yang bertanda.

Jika diisi penuh, ia akan melimpah keluar oleh tekanan yang terhasil ketika aliran cecair penyejukan itu.

Jika paras cecair adalah biasa dan masih mengalami tumpahan cecair, ada kemungkinan udara terperangkap dalam sistem penyejukkan.

Ia boleh dikeluarkan dengan melakukan nyah-udara, namun kereta moden akan diseimbangkan secara automatik apabila enjin beroperasi.

Udara atau gas akan terhasil jika enjin terlalu panas dan menyebabkan cecair penyejuk mendidih.

Ini boleh berlaku sekiranya cecair penyejukan sudah lama tidak ditukar dan kehilangan kuasa penyejukannya.

Lazimnya, cecair itu akan kehilangan warna atau bertukar pucat berbanding yang baru.

Pastikan juga ia ditukar setahun sekali dan tangki radiator adalah bersih dan dibilas ketika menukar cecair penyejukan itu.

Periksa juga bahawa sirip penyejukan pada radiator tidak tersumbat dan kipas berfungsi dengan sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:05 AM
Digital NSTP Subscribe