Dari kiri Josafri, Hafiz, Krisdayanti, Farah dan Roslen.
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@mediaprima.com.my


Perihal vokalnya yang hebat diakui melalui melalui pencapaian Hafiz Suip selaku pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2010 menerusi lagu Noktah Cinta, diikuti tahun berikutnya Awan Nano (2012) dan Ku Akui (2013).

Kemenangan yang diukur berdasarkan vokalnya juga pernah diiktiraf dalam satu lagu acara berprerstij iaitu Anugerah Industri Muzik (AIM) apabila Hafiz menang Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Lelaki) melalui lagu Bahagiamu Deritaku.

Berdasarkan profil kejayaannya lima tahun kebelakangan ini, anak kelahiran Sarawak itu turut memperlihatkan kolaborasi dengan nama besar apabila menjadi pilihan pasangan duet penghibur bertaraf diva seperti Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu Muara Hati dan Datuk Rossa (Salahkah).

Terbaru, juara Akademi Fantasia 7 (AF7) itu mengumumkan satu lagi perancangan duet dengan pe­nyanyi cukup berbakat besar iaitu Misha Omar.

Bagaimanapun, sebelum pelaksanaan kerjasama itu dilakukan, Hafiz bakal beraksi dengan seorang lagi diva cukup berpengaruh di Asia Tenggara, Krisdayanti.

Kelmarin, Hafiz diumumkan sebagai artis jemputan Konsert Krisdayanti Live in KL 2014 pada sidang media kedua konsert itu di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Pengumuman itu dilakukan sendiri oleh Krisdayanti.

Hafiz menjadi pilihan pelayar dan pelanggan setia wangian tanpa alkohol itu menerusi laman rasmi One Drop Perfumes yang juga penganjur dan penaja konsert berkenaan yang tampil dengan kelainan iaitu memberi peluang kepada orang ramai memilih penghibur tempatan yang ingin disaksikan mereka dalam konsert itu.

Akui Hafiz yang juga juara Mania, dia amat berbesar hati menerima pelawaan itu. Bahkan tidak pernah me­ngukur pencapaiannya untuk muncul sebagai artis undangan.

"Saya tidak pernah berasakan diri saya seorang pe­nyanyi yang hebat walaupun orang sering melabelkan saya dengan gelaran itu. Sampai sekarang, setiap hari saya masih lagi belajar dan memperbaiki diri.

"Justeru, apabila menerima pelawaan sebagai artis undangan Krisdayanti, saya berasa sangat teruja dan gementar, jauh sekali mahu menolak.

"Peluang ini bagi saya satu lagi impian saya yang menjadi kenyataan dan ia bakal tersemat sebagai pe­ngalaman indah dalam karier nyanyian saya.

"Krisdayanti antara penyanyi wanita yang saya hormati dan kagumi. Saya sukakan lagu duet beliau bersama Siti iaitu Jikau Kau Datang dan Mencintaimu.

"Bagaimanapun, per­sembahan duet kami nanti, saya mahu menyanyikan lagu Cinta bersamanya. Terdapat satu lagi lagu duet yang belum diputuskan selain satu lagu solo daripada single saya sendiri," kata­nya.

Sebagai persiapan menghadapi konsert yang bakal berlangsung di Dewan Planery, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 November ini, Hafiz merancang untuk mengasah vokal di bawah bimbingan guru vokal, Cikgu Shafi kerana dia sentiasa melihat pembabitan dalam acara besar seperti ini apatah lagi membabitkan majlis orang, tanggungjawab yang diberikan tidak boleh dipandang enteng.

Sementara itu, Krisdayanti menerusi ucapannya berkata, dia juga gembira apabila dimaklumkan Hafiz muncul sebagai artis jemputannya kerana perihal kelunakan suara penyanyi itu pernah dikhabarkan oleh seorang temannya juga seorang diva di persada muzik Indonesia iaitu Rossa.

"Saya tidak pernah bertemu dengannya sebelum ini dan di sidang media ini adalah yang pertama. Namun saya sempat mendengarkan cerita mengenai pencapaian muzik Hafiz serta lagu-lagunya yang saya dengarkan di YouTube selain diceritakan sendiri oleh Rossa yang memuji vokal Hafiz sebagai pasangan duetnya.

Konsert Krisdayanti Live in KL 2014 itu dibawakan One Drop Perfumes Sdn Bhd.

Pengarah Urusan Kumpulan One Drop Perfumes, Datuk Seri Josafri Johari berkata, undian yang dilakukan pihaknya dengan membariskan beberapa lagi nama penyanyi terkenal, menyaksikan Hafiz mendominasi pilihan peminat dengan jumlah undian mencecah hampir 20,000.

"Kami sebagai penganjur amat gembira dan percaya ia akan menjadi sebuah per­sembahan yang hebat apabila dua penyanyi yang cukup terkenal dan diminati ramai bergabung di pentas yang sama.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil dan Pengurus Perhubungan Awam Royale Chulan Hotel, Farah Halim.

Tiket konsert berharga RM98 hingga RM1,088.

Untuk tempahan tiket boleh melayari www.ticketcharge.com.my atau menghubungi 03-92228111.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:00 AM