Sebelum ini kecoh orang memperkatakan Zizan Razak akan mengakhiri zaman bujang dengan gadis pilihan hati ibunya, bulan lalu.

Tidak lama kemudian timbul pula cerita kononnya pelawak yang pernah bercinta dengan pelakon popular Emma Maembong itu akan bernikah pada bulan ini.

Masalahnya Cik Pang perhatikan selepas Mei dan kini sudah masuk Jun, majlis pernikahan Zizan yang hangat diperkatakan itu tidak juga berlaku.

Tidak tahulah Cik Pang kalau Zizan mahu bernikah dalam masa seminggu dua ini tetapi bukankah kita akan menyambut Ramadan berbaki 11 hari lagi.

Sempat ke keluarga pelawak popular itu melakukan persiapan majlis pernikahan dan persandingan dalam tempoh yang singkat.

Bukan Cik Pang saja yang menantikan tarikh pernikahan Zizan malah peminat pelakon yang cukup popular menerusi filem Mael Lambung itu juga tertanya-tanya.

Untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, teman Cik Pang sempat bertanya sendiri kepada Zizan sama ada dia jadi bernikah atau tidak dalam waktu terdekat.

Jelas Zizan dia tidak boleh memberikan sebarang komen mengenai perkara itu kerana ia masih dalam perbincangan keluarga kedua-dua belah pihak.

Pelawak itu turut menegaskan butir perbincangan tidak boleh dikongsi kepada umum selagi belum ada kata putus.

Pun begitu dia meyakinkan teman Cik Pang keluarga kedua belah pihak sedang membuat perancangan majlis pernikahan.

Mengikut pemahaman Cik Pang berdasarkan kenyataan Zizan itu bermakna majlis pernikahan akan berlangsung juga tetapi keluarga masih mencari tarikh sesuai.

Apapun doa Cik Pang buat Zizan dan bakal isterinya, mudah-mudahan majlis yang dirancang berjalan lancar. Cik Pang percaya perkara baik pasti akan dipermudahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:07 AM