Pathumthani (Thailand): Seorang anggota polis Thailand semalam menembak mati seorang lelaki yang didakwa menyerang sebuah balai polis di sini.

Jurucakap polis, Pairat Wannee berkata, suspek, Assanichaipol Charoenwinij, 30, yang bersenjatakan pisau menyerbu masuk ke balai polis Pratunam Chulalongkorn pada pukul 6.30 pagi (waktu tempatan).

Katanya, lelaki itu cuba menyerang anggota polis menyebabkan seorang anggota polis berpangkat koperal melepaskan satu das tembakan.

“Anggota polis itu melepaskan tembakan menggunakan pistolnya dan peluru mengenai bahagian kanan dada suspek.

“Suspek kemudiannya dibawa ke hospital berhampiran, tetapi dia disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, polis kini sedang menyiasat serangan itu dan motif suspek cuba mencederakan anggota polis berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 5:10 AM