KHAIRY (dua dari kanan) mencuba motosikal pada acara ‘Art of Speed’.
KHAIRY (dua dari kanan) mencuba motosikal pada acara ‘Art of Speed’.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekali lagi dihentam oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila mendakwa badan induk bola sepak negara itu sudah lama mengabaikan soal pembangunan di samping wujud banyak kelemahan dalam sistem mereka.

Lantas, beliau secara terbuka melahirkan kebimbangan mengenai hala tuju sukan nombor satu negara itu terutama soal pemain muda di bawah program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) apabila kelompok pemain berbakat itu diserahkan kepada FAM kelak.

“FAM sebenarnya sudah mengabaikan pembangunan sejak sekian lama. Waktu saya jadi Timbalan Presiden, saya cuba dengan projek Harimau Muda namun saya sendiri tahu itu hanyalah untuk pendekatan jangka masa pendek saja.

“Sebenarnya kita memerlukan sokongan semua kelab dan negeri menumpukan kepada pembangunan. Tapi kebanyakan negeri dan kelab tidak melihat ia penting terutama hal berkaitan pembangunan,” katanya ketika ditemui pada acara ‘Art of Speed’ di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) Serdang, semalam.

Katanya lagi, sistem yang digunapakai FAM tidak bagus dan beliau menyarankan ia diperbaiki segera demi masa depan bola sepak negara.

“Saya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjaga pemain dari umur 7-17 tahun dan selepas itu pemain itu akan masuk ke sistem FAM. Namun apa yang saya dapati sistem dipraktikkan tidak bagus dan perlu diperbaiki.

“Hari ini kalau saya serahkan pemain PPBN kepada FAM, saya risau mereka tidak akan capai potensi disebabkan kelemahan sistem di bawah badan induk itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 5:12 AM