NATASHA (kiri), Nabil (dua dari kiri), Sharmini dan Ahmad Imtaz (kanan) memperagakan pingat perak dimenangi.
NATASHA (kiri), Nabil (dua dari kiri), Sharmini dan Ahmad Imtaz (kanan) memperagakan pingat perak dimenangi.

Cemas sebelum diputuskan memenangi pingat perak. Situasi itu berlaku dalam acara ekuestrian jumping berpasukan semalam apabila pengadil mengubah kedudukan Malaysia dari tempat kedua ke tempat ketiga.

Bagaimanapun, selepas perbincangan dan penilaian semula, Sharmini Christina Ratnasingham, Ahmad Imtaz Amir Hamzah, Natasha Ines Wah Idris, Mohammad Nabil Fikri Ismail kekal di tempat kedua dengan hanya dikenakan 18 penalti.

Menurut jurulatih Syed Omar Syed Abu Bakar, apa yang berlaku normal dalam sukan ekuestrian kerana pengadil pertandingan perlu mengira markah satu per satu setiap ahli pasukan.

“Sebelum itu juga mereka ada melihat kasut yang dipakai Nabil, tapi ini perkara biasa kerana kita mengikut kesesuaian keadaan cuaca. Apapun saya bangga dengan mereka semua walaupun ada yang hanya melakukan persiapan dalam waktu singkat,” katanya selepas majlis penyampaian pingat semalam.

Jelasnya, setiap ahli pasukan membantu antara satu sama lain dan berjaya memperbaiki pencapaian di Indonesia apabila sekadar meraih gangsa ketika itu.

“Mereka lebih berpengalaman dan sudah pasti saya mengharapkan mereka mampu meraih emas dalam acara individu. Ia pertandingan baru dan tidak ada kena mengena dengan acara berpasukan,” katanya.

Emas dalam acara berkenaan dimenangi Singapura yang membariskan Catherine Chew, Janine Khoo, Cheong Su Yen dan Predgrag Marjanovic tanpa melakukan sebarang kesilapan dan dikenakan penalti.

Gangsa milik Thailand yang dibarisi, Korntawat Samran, Siengsaw Lertratanachai dan Sailub Lertratanachai melakukan 20 penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 9:26 AM
Digital NSTP Subscribe