Petaling Jaya: Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd (Mamee) mengunjurkan penguasaan pasaran sehingga 40 peratus bagi jumlah pengeluaran segmen snek di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar Pemasarannya Chan Meng Yang berkata, pengenalan produk baru bertih jagung Perfecto dilihat mampu meningkatkan jumlah penguasaannya yang kini mencatatkan sebanyak 36.2 peratus.

“Buat masa ini, Mister Potato adalah penyumbang terbesar daripada lebih 50 produk keluaran pelbagai syarikat dalam segmen snek dan merancang memperkenalkan dua lagi produk baru pada akhir tahun ini.

“Bagi memenuhi keperluan pengguna, kami sentiasa melakukan kajian mengikut kemahuan mereka atau ‘trend’ terkini sebelum memperkenalkan produk baru,” katanya pada majlis pelancaran bertih jagung Perfecto oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mamee, Tan Sri Pang Tee Chew di sini, baru-baru ini.

Chan berkata, Perfecto mempunyai tiga perisa iaitu Ultimate Caramel, Chocolate in Love dan French Vanilla untuk memudahkan pelanggan menikmati bertih jagung ketika menonton filem kegemaran di rumah masing-masing.

Menurutnya, bertih jagung bersalut penuh dengan perisa itu boleh didapati di kedai serbaneka berhampiran pada harga RM4.50 bagi 85 gram (g) manakala 160 gram pada harga RM7.50.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 10:48 AM