PENGGUNAAN elemen perincian pita serong kapas bercorak antara keunikan koleksi ini.
PENAMPILAN sederhana dan kemas dengan koleksi tudung bawal Amrina Floral.
ANTARA koleksi tudung bawal Amrina Fancy Petak.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Ada yang gemar menggayakan tudung bersengkuap dan tidak kurang juga jenis bawal kerana masing-masing mempunyai tanggapan sendiri mengenai rekaan tudung atau selendang yang terbaik untuk menonjolkan kecantikan wajah.

Misalnya, tudung bawal yang keunikannya masih diminati kerana ia dianggap lebih sesuai dengan sesetengah gaya dan bentuk wajah.

Justeru, tidak hairanlah jika ada peminat tudung bawal yang masih menggayakannya biarpun pelbagai jenis rekaan tudung yang dikatakan lebih mudah dan cepat dipakai laris di pasaran.

Lebih menarik apabila rekaan tudung bawal diperbaharui dengan pelbagai jenis penggunaan perincian mahupun fabrik untuk memastikan gayanya seiring dengan trend semasa.

Memahami cita rasa wanita masa kini yang bergaya sopan dan ringkas, dua koleksi tudung Mulawa Bawal iaitu Amrina Floral dan Amrina Fancy Petak ditampilkan butik dalam talian, Mulawa Fashion.

Menurut Pengurus Operasi Mulawa Fashion Delina Ismail, ia direka untuk wanita yang gemar memakai tudung bawal kosong dan pada masa sama, mahu bergaya kasual.

"Kebanyakan rekaan tudung bawal yang dihasilkan sebelum ini dijahit dengan pemilihan elemen perincian di bahagian hujung keliling tudung.

"Lazimnya, ia dijahit dengan jarak lima sentimeter dari bahagian hujung tudung untuk menyerlahkan keseimbangan warna tudung yang kosong dan perincian bercorak yang dijahit di atasnya.

"Selain sesuai digayakan seperti gaya tudung bawal empat segi, ia juga boleh digayakan seperti tudung bawal segera dengan meletakkan pin di bahagian depan tudung," katanya.

Katanyanya, penggunaan elemen perincian pita serong kapas (bias tape) bermotifkan corak bunga dan petak beragam ditempah khas di kilang untuk dijahit pada bahagian tepi tudung.

Kemasan jahitan menjadi keutamaan jenama ini di samping stok warna sedia ada. Selain itu, pelanggan juga boleh menentukan warna tudung atau perincian mengikut cita rasa sendiri.

Selain elemen perincian, pemilihan fabrik sesuai juga begitu dititikberatkan. Fabrik voile dijadikan pilihan untuk menghasilkan koleksi tudung bawal kerana ia mempunyai ciri-ciri yang ringan, lembut dan polos.

Butik yang dibuka secara dalam talian ini menampilkan 20 warna berbeza untuk koleksi Amrina Floral ( bidang 114 sentimeter) dan Amrina Floral (bidang 152 sentimeter) serta 10 rona menarik bagi Amrina Fancy Petak (bidang 114 sentimeter).

Walaupun rekaan tudung bawal ini tampak ringkas, ia tampil kemas jika digayakan ke kuliah atau tempat kerja selain dipakai ketika bersantai bersama rakan mahupun seisi keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:03 AM