X
REPLIKA gergasi kasut merah jambu sebagai tanda ingatan kepada pesakit kanser payudara.
REPLIKA gergasi kasut merah jambu sebagai tanda ingatan kepada pesakit kanser payudara.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Kehadiran replika kasut gergasi berwarna merah jambu di pintu masuk Hospital Gleneagles Kuala Lumpur menjadi tanda peringatan kepada semua pelawat mengenai cabaran yang dihadapi pesakit kanser payudara.

Kanser payudara, barah paling kerap dihidapi wanita di Malaysia iaitu satu daripada 19 wanita berisiko untuk mendapat penyakit berbahaya ini. Justeru, pihak hospital berkenaan melancarkan kempen kesedaran kanser payudara yang unik #PinkMove-Walk In Her Shoes.

Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles Kuala Lumpur Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata, pihaknya percaya kempen berkenaan mampu memberi kesan kepada orang ramai dalam menghayati perjuangan pesakit kanser payudara.

"Apabila seorang wanita disahkan menghidap penyakit ini, dia berhadapan dengan perjalanan sukar dalam hidupnya yang membabitkan fizikal dan mental termasuk perubahan emosi dari semasa ke semasa.

"Secara simboliknya, kempen ini mencerminkan pengalaman hidup diri pesakit itu sendiri. Pihak hospital juga berbesar hati apabila replika kasut gergasi kempen ini diiktiraf sebagai Sepatu Replika Terbesar oleh Buku Rekod Malaysia (MBOR)," katanya.

Beliau berharap pengiktirafan itu akan menyemarakkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya penyakit ini. Pada masa sama, ia juga menjadi tanda sokongan kepada pesakit kanser payudara.

Pihak hospital akan terus menganjurkan pelbagai inisiatif kempen kesedaran kanser payudara di samping mengumpul sokongan daripada orang ramai.

Sementara itu, pereka kasut terulung, Datuk Jimmy Choo yang hadir pada majlis pelancaran berkata, kasut yang dipakai dapat mencerminkan keperibadian dimiliki wanita itu sendiri.

"Ia umpama melihat sebuah jendela diri. Saya sudah bergelumang dengan pembuatan dan rekaan kasut sejak sekian lama dan tahu bagaimana sepasang kasut dapat mencerminkan diri seorang wanita.

"Justeru, saya sangat berbangga dapat menyokong inisiatif ini kerana ia melambangkan perjalanan pengalaman pesakit kanser payudara," katanya.

Universiti Taylor antara lokasi rasmi kempen itu bagi menyemarakkan sokongan dengan mengadakan demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara oleh 25 pelajar jurusan perubatan sepanjang Oktober lalu.

Ia membabitkan semua fakulti dan pelajar, pada masa sama mereka turut mengedarkan belon merah jambu dan buku kecil #PinkMove.

Kempen ini dilaksanakan di beberapa lokasi dan orang ramai diberi peluang mengambil gambar dengan memakai 15 koleksi kasut merah jambu yang disediakan. Mereka juga boleh membeli foto polaroid dengan harga RM25 setiap satu dan semua kutipan hasil jualan akan disalurkan kepada badan organisasi kanser payudara.

Pihak hospital turut mengedarkan buku kecil #PinkMove yang mengandungi panduan pemeriksaan sendiri payudara kepada orang ramai.

Untuk terus mendekati orang ramai, hospital berkenaan menganjurkan cabaran #PinkMoveChallenge dengan menggalakkan sesiapa saja mengambil gambar semasa memakai kasut merah jambu.

Gambar berkenaan akan dikongsi di laman sosial media mereka sendiri, namun perlu disertai dengan #pinkmove. Untuk sebarang maklumat lanjut, layari www.gleneagleskl.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:03 AM