Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dua kereta curi bernilai lebih RM600,000, bulan lalu.

Yeo Yong Kuang, 31, dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama bermula dari tarikh dia ditangkap, pada 18 Mei lepas dan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan kedua.

Majistret Saifulakmal Said memerintahkan hukuman penjara itu berjalan berasingan.

Yeo didakwa bersama-sama dengan Lee Wong Fong, 34, menyimpan sebuah kereta curi jenis Lexus RX350 3.5 (A) F-Sport bernilai RM380,000 milik Syarikat Ultico Marketing Sdn Bhd di tempat letak kereta bahagian bawah Plaza Damas 3, Lot B13, Level P1, Blok B, Jalan Sri Hartamas 1, Brickfields di sini pada 7.50 malam, 18 Mei lalu.

Dia juga didakwa menyimpan sebuah kereta curi jenis Toyota Velfire bernilai RM248,000 milik Lim Ai Ping, 39, seorang suri rumah, di tempat letak kereta aras 1, Plaza Damas 2, Sri Hartamas, Brickfields di sini pada 5 petang, 10 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, polis berjaya menangkap Yeo di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan bersama-sama dengan alat mencuri kereta termasuk pelbagai kunci kereta jenama mewah dan tiga alat dipercayai untuk menggodam komputer box kereta bagi menghidupkan enjin.

Tertuduh kemudiannya menunjukkan lokasi kedua-dua kenderaan yang dicurinya.

Ketika rayuan, Yeo yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan bermula dari tarikh dia ditangkap.

Sementara itu, Lee, seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki kereta curi jenis Lexus itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 6:08 PM