Washington: Satu kumpulan online mendakwa kiamat akan berlaku antara 22 dan 28 September ini apabila ia dilanggar asteroid yang cukup besar untuk memusnahkan planet ini.

Walaupun dakwaan itu tidak berasaskan bukti nyata, populariti ramalan itu memaksa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) untuk bersuara, sekali gus menyangkal teori berkenaan dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

“Kami tidak tahu-menahu mengenai sebarang asteroid atau komet yang didakwa akan melanggar bumi. Oleh itu, kemungkinan kejadian itu berlaku adalah terlalu kecil.

“Hakikatnya, kami boleh berkata, tidak ada sebarang objek besar yang akan melanggar bumi pada bila-bila masa dalam tempoh ratusan tahun akan datang,” kata seorang jurucakap agensi berkenaan.

Menurut kumpulan online itu, kerajaan negara kuasa besar dunia mengetahui mengenai apa yang akan berlaku.

“Mereka sengaja merahsiakan maklumat mengenainya kerana tidak mahu penduduk cemas dan membolehkan golongan kaya dan terkenal membuat persiapan,” kata kumpulan itu.

Menurut laporan Inquisitr, seorang lelaki yang mendakwa dirinya paderi, membuat ramalan itu, kononnya selepas mendapat mesej daripada Tuhan.

Efrain Rodriguez mendakwa, Tuhan memberitahunya asteroid berkenaan akan melanggar Puerto Rico hingga menyebabkan gempa bumi dan tsunami.

“Ia akan memusnahkan pantai timur Amerika Syarikat, Mexico, Amerika Tengah dan Selatan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 7:20 AM