HADAFI gagal raih sebarang pingat acara 50m air rifle.
HADAFI gagal raih sebarang pingat acara 50m air rifle.

Kem skuad menembak negara terus ketandusan pingat emas selepas Mohd Hadafi Jaafar gagal menyekat kehebatan atlet Thailand apabila hanya memenangi gangsa acara 50m air rifle prone individu di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Singapura semalam.

Supalerk Wijan meraih emas selepas mengutip 206.3 mata dengan rakan sepasukannya Attapon Uea-aree perak (205.7) manakala Hadafi (183.6).

Seorang lagi penembak harapan negara yang memenangi perak di Sukan Asia Incheon 2014 Muhammad Ezuan Nasir Khan hanya berpuas hati di tempat keempat 162.9 mata.

Hadafi yang memenangi perak acara 10m air rifle berpasukan minggu lalu berkata, penembak Thailand sememangnya sukar digugat kali ini.

“Saya gembira kerana memenangi pingat gangsa. Sukar untuk layak ke final dan penembak Thailand memang bagus kerana tembakan mereka sangat konsisten.

“Saya berusaha keras dan gembira kerana ini bukan acara kegemaran saya. Saya harap akan memenangi emas apabila Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017,” katanya.

Penguasaan penembak Thailand berterusan apabila menguasai tiga tempat teratas dalam acara 50m prone individu wanita.

Muslifah Zulkifli yang mengalami sedikit kecederaan mata akibat terkena percikan minyak ketika beraksi dalam acara berpasukan kelmarin muncul penembak Malaysia terbaik dengan menduduki tempat kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 8:52 AM