SHARMINI meraikan kejayaan bersama jurulatih dan keluarga.

Umpama menang perlawanan bola sepak melalui keputusan sudden-death. Itulah yang dirasai peserta ekuestrian negara R Sharmini selepas meraih emas jumping individu di Pusat Kelab Menunggang Turf Singapura semalam.

Sharmini bersama kudanya, Arcado L menewaskan Catherine Chew di pusingan jump-off (play-off) pingat emas selepas kedua-dua terikat tanpa dikenakan sebarang penalti di pusingan akhir bersama 10 peserta lain.

Dalam pusingan jump-off itu Sharmini menamatkan cabarannya dalam masa 35.90 saat, manakala Catherine 36.69s. Wakil Thailand, Sailub Letratanachai pula meraih gangsa.

Kali terakhir Malaysia meraih emas acara ini di Korat 2007 menerusi Qabil Ambak yang turut hadir menyaksikan Sharmini beraksi.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, Lars Bak Andersen atas semua perancangannya termasuk dari segi latihan dan kejohanan yang perlu saya sertai,” katanya yang pernah meraih gangsa di Indonesia untuk acara berpasukan.

Sharmini berhasrat mahu beraksi di Sukan Olimpik 2020 Tokyo selepas tidak mengambil bahagian di kelayakan Sukan Olimpik 2016 Rio.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Sharmini berkata, dia akan kembali beraksi di Eropah dan bekerja keras untuk bersaing dalam acara bertaraf kebangsaan serta antarabangsa.

Sharmini juga membayangkan kejayaannya itu banyak dibantu kudanya Arcado L selepas membentuk persefahaman mantap semasa berpangkalan di Hamburg, Jerman.

“Kami mula bergandingan bersama sejak Disember 2013 dalam aksi pertama di Itali. Selepas itu kami mula serasi,” katanya yang mula menjinakkan diri beraksi dalam sukan ini sejak berusia enam tahun.

Ekuestrian menutup tirai semalam dengan Malaysia meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 8:55 AM