RAWATAN kulit penting bagi mendapatkan kulit lebih sihat.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Kulit yang cantik menjadi idaman semua wanita tidak kira peringkat usia. Namun, bagi wanita sebaik meniti usia 40-an, hormon estrogen mula menurun disebabkan proses penuaan dan secara tidak langsung dapat dilihat pada kulit.

Fisiologi kulit berubah dan perubahan hormon menjadikan proses penuaan berlaku dengan lebih pantas seterusnya kulit menjadi kurang anjal dan kedutan mula terbentuk.

Ketika usia muda, hormon bestradiol merangsang rembesan lembapan yang lebih banyak pada kulit seterusnya bertindak sebagai antijerawat. Namun, apabila hormon ini berkurangan, kulit menjadi lebih berminyak dan menyebab–kan masalah jerawat pada usia lewat pada sesetengah wanita.

Selain itu, estrogen merangsang kedudukan lemak di seluruh tubuh wanita dan apabila ia menurun mendadak, deposit lemak menjadi tidak sekata dan lebih tertumpu pada abdomen, paha dan pinggul.

Akibatnya, lemak yang sebelum ini menjadi penyokong di bawah kulit semakin berkurangan pada bahagian muka, leher, tangan dan lengan menyebabkan kulit kelihatan kendur.

Pada masa sama, paras kolagen dan elastin yang menjadikan kulit tegang juga semakin menurun dan proses membaiki kulit menjadi perlahan. Keadaan kulit akan lebih teruk jika terdedah kepada sinaran ultra ungu yang merosakkan lagi kandungan kolagen yang tinggal.

Seiring peningkatan usia, aliran darah di bawah kulit juga semakin berkurangan, membuatkan nutrien dan oksigen kurang memasuki lapisan epidermis seterusnya menyebabkan ia menipis dengan kadar penggantian sel yang semakin perlahan sehingga kulit menjadi kering.

Pakar dermatologi, Dr Nicholas Lim berkata, disebabkan kulit yang semakin menipis, perlindungan daripada matahari amat penting kerana ia dapat mengurangkan risiko penuaan pramatang selain melindungi kulit daripada masalah jeragat yang sering dialami wanita berusia.

Katanya, bekalan darah ke kulit yang semakin berkurangan akan menyebabkan wajah mudah bermasalah selain faktor hormon yang berubah dengan ketara, hingga mengakibatkan masalah jerawat dan jeragat.

“Antara faktor yang menyumbang kepada kehilangan keanjalan kulit adalah kemerosotan paras hormon seiring peningkatan usia, gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari. Nikotin dan bahan kimia dalam rokok turut menurunkan kandungan kolagen kulit manakala cahaya matahari menggugat struktur kulit serta merosakkan kolagen dalam kulit,” katanya ketika pelancaran rangkaian terbaru produk penjagaan kulit, Eucerin Volume Filler.

Dr Lim berkata, semakin usia meningkat, kulit yang kian kering menyebabkan pembentukan garis halus dan ia boleh diperbaiki dengan penggunaan pelembap dan krim pelindung matahari yang perlu dimulakan seawal mungkin bagi mendapat kesannya.

Menurutnya, langkah penjagaan kulit yang asas seperti mencuci, menyegar dan melembap amat penting untuk memastikan keadaan kulit sentiasa lembut dan bebas masalah.

“Jika penjagaan kulit secara konsisten dilakukan, keadaan kulit yang muda dan cantik boleh bertahan dalam tempoh lebih panjang. Wanita mesti meluangkan masa bertemu pakar dermatologi sekiranya mengalami sebarang masalah kulit yang merunsingkan supaya rawatan boleh dijalankan termasuk mendapat nasihat dan analisis kulit.

“Wanita perlu bersabar setiap kali mencuba produk baru kerana sekurang-kurangnya dua minggu diperlukan untuk kita melihat kesannya selain memastikan kulit tidak sensitif atau alah kepada produk itu,” katanya.

Pada masa sama, Dr Lim menasihatkan wanita supaya meninggalkan gaya hidup tidak sihat, minum air secukupnya, lebihkan makan sayur dan buah serta cukup tidur kerana kulit yang cantik berpunca daripada kesihatan yang baik.

Sementara itu, Eucerin Volume Filler yang baru diperkenalkan berperanan menegang dan menganjalkan kulit berkedut dalam semua tiga lapisan kulit. Ia juga mengurangkan kedutan, merangsang penghasilan kolagen, merapatkan rahang dan garis leher bagi mengembalikan kontur Y semula jadi, menajamkan garis rahang serta menganjalkan garis leher untuk wajah lebih muda dan berseri.

Bahan utama dalam rangkaian produk itu adalah asid hialuronik, peptida oligo dan magnolol apabila setiap satu berfungsi sebagai pencegah kehilangan kelembapan, kolagen dan tisu lemak.

Asid hialuronik memiliki kapasiti penyimpanan kelembapan tinggi yang juga bertindak sebagai perangsang pembaharuan kulit dan mempunyai kandungan antioksidatif. Peptida oligo pula mengaktifkan kolagen, merangsang aktiviti metabolik kulit dan mengaktifkan semula interaksi antara sel. Sementara itu, magnolol bertindak sebagai pengaktif penyimpanan lipid dan berperanan dalam mengaktifkan pembaharuan sel lemak serta meningkatkan paras adiponektin.

Rangkaian Eucerin Volume Filler yang kini boleh didapati di semua farmasi utama seluruh negara terdiri daripada Eucerin Volume-Filler Eye Cream, Eucerin Volume-Filler Booster Serum, Eucerin Volume-Filler Day Cream dan Eucerin Volume-Filler Night Cream.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 12:33 PM