Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini mencadangkan supaya Kementerian Kewangan segera melantik firma pengauditan bagi mengaudit penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun berakhir 31 Mac 2015.

Pengerusi PAC Datuk, Nur Jazlan Mohamed berkata berdasarkan prosiding yang dilakukan bersama Firma pengauditan Deloitte & Co semalam, mereka hanya bertanggungjawab mengaudit penyata akaun 1MDB yang berakhir 31 Mac 2014.

“Kini sudah Jun 2015 dan sepatutnya ada satu lagi akaun yang belum disediakan. Bila kita bertanya kepada Deloitte semalam, mereka berkata tidak menerima arahan daripada pemegang kepentingan iaitu MOF (Kementerian Kewangan) untuk memulakan pengauditan.

“MOF sebagai pemegang kepentingan perlu melaksanakan tanggungjawab untuk mula mengarahkan pihak terbabit menjalankan pengauditan. Mereka perlu memanggil juruaudit secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen, hari ini.

Jelasnya, selepas pengauditan dilakukan Deloitte yang berakhir pada 31 Mac tahun lalu, ada 15 bulan yang memungkinkan berlaku pelbagai acara yang memerlukan seseorang untuk mengesahkannya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 6:03 PM
Digital NSTP Subscribe