ANGGOTA bomba sedang mengeluarkan ibu jari tangan kanan kanak-kanak perempuan yang tersepit pada tombol pintu. FOTO ihsan Bomba
Oleh Azahar Hashim


Kulim: Tindakan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun bermain dengan tombol pintu yang rosak mengundang padah apabila ibu jari tangan kanannya tersepit dalam kejadian hari ini.

Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech Mohammad Fisol Osman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada wad kecemasan Hospital Kulim pada jam 5.29 petang untuk meminta bantuan bagi mengeluarkan ibu jari kanak-kanak itu yang tersepit pada tombol pintu.

"Sepasukan enam anggota bomba dihantar ke hospital berkenaan bagi mengeluarkan ibu jari tangan kanan kanak-kanak berkenaan yang tersepit.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum berjaya mengeluarkan ibu jari tangan kanak-kanak itu dengan meleraikan beberapa komponen tombol pintu terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 September 2014 @ 10:28 PM