KEADAAN rumah didiami mangsa musnah dalam kebakaran.
Oleh Junaidi Ladjana

Keningau: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui rentung selepas rumah didiaminya musnah terbakar di Kampung Melampoi Nabawan, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa, Marjuti Madul, ditemui rentung di ruang tamu rumahnya sebaik api berjaya dikawal sejam kemudian.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendi K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.10 petang dan sebuah jentera bersama lapan anggota dari Balai Bomba Keningau dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian 18 minit kemudian, sebuah rumah musnah sepenuhnya sebelum anggota memadam sisa bara api di kawasan berkenaan.

"Sebaik operasi pemadam dilakukan, anggota bomba menemui satu mayat lelaki di kawasan ruang tamu rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, mayat kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu kemudian dibawa keluar sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan.

Operasi memadam turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Nabawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 10:13 PM