SHARMINI rangkul emas acara jumping individu.
SHARMINI rangkul emas acara jumping individu.

Hanya satu emas dibawa pulang pasukan ekuestrian negara di Singapura selepas acara berkenaan menutup tirai kelmarin namun menjelang temasya di Malaysia dua tahun dari sekarang, mereka sudah menyatakan perancangan agar mampu lebih cemerlang di laman sendiri.

Jurulatih Syed Omar Syed Abu Bakar berkata, beliau begitu gembira dengan usaha dan kegigihan diberikan semua anak buahnya serta mengakui mereka sebenarnya tidak mempunyai kelemahan ketara.

“Kami bukannya terlalu lemah tapi perlu bergerak ke depan jika mahu lebih cemerlang. Apa yang perlu dibuat sekarang ialah mencari sumber kewangan untuk pendedahan di luar negara,” katanya yang juga bekas atlet ekuestrian.

Jelasnya, R Sharmini menjadi contoh terbaik apabila penunggang yang berpangkalan dan mengambil bahagian dalam beberapa kejohanan di Eropah itu berjaya merangkul emas acara jumping individu serta membantu pasukan meraih perak.

“Prestasi dan tahap tunggangannya sangat berbeza jadi kita perlu membuat pendedahan di Eropah sebelum bermulanya temasya di Malaysia. Tidak semestinya beraksi di tempat sendiri kita mempunyai kelebihan.

“Jika mahu berada pada tahap terbaik, persiapan di Eropah sangat diperlukan. Bagi pasukan dressage pula saya lihat kebanyakan mereka masih muda dan harus diberi pendedahan,"”kata Syed Omar.

Sementara itu bekas atlet ekuestrian negara, Qabil Ambak berkata, beliau gembira melihat prestasi cemerlang dipamerkan Sharmini kelmarin selepas beberapa tahun skuad negara tidak meraih emas acara jumping individu.

“Saya bangga dengan pencapaiannya dan harap dapat diteruskan di Kuala Lumpur nanti. Apa yang perlu kita buat mantapkan lagi dalam acara pasukan kerana sekarang ini kita sudah mempunyai dua atlet kuat.

“Persiapan perlu dilakukan lebih awal dan saya yakin jika bermula dari sekarang, kita mampu menambah pungutan emas. Ramai yang mempunyai kemampuan, cuma mereka kurang pengalaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 12:29 PM