ELEMEN ropol menjadikan penampilan tampak lebih anggun.
TAMPIL elegan dengan pilihan rona gelap.
PILIHAN busana rona pastel.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Konsep suai dan padan menjadi keutamaan dalam menampilkan keunikan rekaan pada koleksi pakaian ditampilkan jenama Poplook. Menariknya, ia memberi kebebasan kepada si pemakai untuk menyuai padan tudung, baju atau skirt dengan rona serta gaya diminati.

Pada masa sama, gaya ditampilkan masih mengekalkan konsep dan tema diinginkan. Pelbagai pilihan rekaan gaun, blaus dan skirt dengan 12 rona pilihan bagi menampilkan kelainan serta tampak elegan.

Menurut pereka fesyen Poplook, Nik Amanina Liyana Nik Abd Aziz, konsep suai padan sangat menarik justeru, jenama berkenaan memberi pilihan yang pelbagai kepada pelanggan untuk tampil lebih versatil.

"Keunikan lain koleksi ini apabila si pemakai boleh menambah atau menghias gaun polos kami dengan perincian manik, renda atau batu permata mengikut cita rasa.

"Ada juga koleksi yang boleh ditempah kerana setiap rekaan boleh dipakai sebagai pakaian harian dan majlis istimewa seperti majlis bertunang.

"Ini kerana kami ingin memberi ruang dan peluang kepada pemakai untuk tampil unik dan tersendiri. Memandangkan koleksi pakaian Perkahwinan dan Keraian II ini himpunan kedua, ia hadir dengan warna lebih gelap dan rona pastel untuk lebih trendy," katanya.

Semasa menghasilkan rekaan koleksi berkenaan, dia sering memikirkan mengenai Muslimah moden yang sopan dan berpenampilan menarik namun masih mengekalkan tema majlis perkahwinan atau keraian.

Pada asalnya, idea untuk menghasilkan rekaan koleksi baru itu bertujuan membantu bakal pengantin yang masih tercari-cari set busana untuk si pengiring pada hari perkahwinan mereka.

Koleksi ini didatangkan dengan pelbagai warna dan rekaan supaya pengapit dapat menyuai padan gaya mereka mengikut cita rasa masing-masing berdasarkan tema majlis.

Mereka juga boleh memakai semula pakaian berkenaan untuk ke majlis keramaian yang lain. Menariknya, koleksi itu tidak terhad untuk gadis pengiring saja, malah tetamu, keluarga dan sanak-saudara boleh menggayakan busana sedondon ketika bertandang ke majlis istimewa.

"Dari segi rekaan, penggunaan elemen ropol, kain renda dan skirt bertingkat memberi kelainan bagi menyerlahkan penampilan anggun si pemakai.

"Elemen ropol boleh dikatakan tema bagi koleksi ini namun pada masa sama, ia ditambah ciri romantis dan feminin. Potongannya pula diterapkan konsep rekaan klasik dengan menggabungkan elemen tradisional dan gaya kontemporari," katanya.

Untuk memberi keselesaan dan kesan alunan yang menawan, koleksi itu dihasilkan menggunakan fabrik sifon crepe yang lembut.

Selain dijahit dengan pelapik baju dengan fabrik berkualiti, skirt pula dihasilkan menggunakan kain renda. Bagi memberi pilihan kepada pemakai, disediakan 18 jenis rekaan termasuk gaun, kurung top dan skirt dengan 12 pilihan warna menarik.

Untuk koleksi kali ini, jenama berkenaan turut menampilkan himpunan pakaian kanak-kanak berusia setahun hingga lapan tahun yang diilhamkan oleh pakaian perkahwinan orang dewasa.

Semua koleksi boleh diperoleh bermula daripada saiz XS hingga 4XL. Bagi menjadikan penampilan tampak senada, gayakan koleksi itu dengan tudung sifon Aida yang didatangkan bersama 12 pilihan warna menarik.

Untuk kali ini, jenama berkenaan turut kembali dengan koleksi popular dan terlaris sebelum ini, antaranya Erina, Haneem dan Mastura. Semua koleksi boleh dilihat menerusi http://poplook.com/ms/76-perkahwinan-dan-keraian atau www.poplook.com

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:07 AM