Muhyiddin ketika melancarkan pusat pertukaran data di Medini, Nusajaya.
Muhyiddin ketika melancarkan pusat pertukaran data di Medini, Nusajaya.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Nusajaya: Peneraju syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dari China, Huawei, melancarkan Pusat Pertukaran Data Digital Asia Pasifik yang pertama di rantau ini di Pusat Pembangunan Iskandar Johor.

Pusat itu dijangka mampu menghubungkan lebih 2,100 rakan niaga dari seluruh dunia kepada 200,000 bahan digital, merangkumi muzik digital, aplikasi permainan mudah alih, video dan pelbagai perkhidmatan multimedia yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Abraham Liu berkata, pusat itu diwujudkan bertujuan mengumpul dan mengedarkan bahan digital kepada syarikat telekomunikasi di negara ini serta seluruh rantau Asia Pasifik.

Katanya, penubuhan pusat itu sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat bagi mendorong aspirasi Malaysia untuk menjadi Pusat ICT Serantau.

“Penggabungan dan pemusatan ICT yang berlaku secara berterusan di seluruh dunia akan menjadi pemacu yang merangsang pertumbuhan pesat melangkaui pelbagai industri.

“Menjelang 2020, akan ada 4.6 bilion pengguna peranti mudah alih serta sebanyak 5.9 bilion telefon pintar selain 100 bilion rangkaian akan dihubungkan dan melihatkan keadaan ini, maka pusat pengumpulan data ini dibangunkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Pertukaran Data Digital Asia Pasifik di Medini Iskandar di sini, semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri Kaunselor Ekonomi dan Perdagangan Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Malaysia, Wu Zhengping.

Huawei bersama Khazanah Nasional memeterai perjanjian untuk pembangunan pusat itu pada 2003 yang inisiatifnya timbul seiring pengumuman kerajaan memperkukuh dan merealisasikan visi Malaysia menjadi pusat ICT serantau.

Liu berkata, pertukaran data digital itu bersedia menjadi platform cemerlang yang akan membolehkan pembekal kandungan di Malaysia untuk memperkembangkan perniagaan mereka menjangkau pasaran antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 1:45 PM