HIMMAT (kanan) bersama Dr Jalaluddin (dua dari kanan) melawat pameran pada Seminar Kebangsaan Penukaran Batang Pokok Sawit Kepada Kayu Bergergaji dan Papan Lapis dan Aplikasi Dalam Perabot di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) mengunjurkan peningkatan eksport produk kayu dan berasaskan kayu sebanyak RM21 bilion tahun ini berbanding RM20.5 bilion yang dicatatkan pada 2014.

Ketua Pengarahnya Dr Jalaluddin Harun berkata, permintaan bagi produk kayu turut meningkat tahun lalu iaitu sebanyak 5.1 peratus berbanding RM19.3 bilion pada 2013.

Beliau berkata, peningkatan itu dijangka disumbangkan oleh eksport lebih tinggi bagi produk akhir yang diberi nilai tambah.

“Jika negara dapat mengeksport produk akhir seperti perabot atau produk siap, ia akan memberi margin keuntungan yang lebih baik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada komoditi seperti kayu gergaji dan papan lapis.

“Kita akan menggalakkan lebih banyak pengeluaran reka bentuk sendiri (ODM) berbanding dengan pembuatan peralatan tulen (OEM),” katanya pada sidang media di Seminar Kebangsaan Penukaran Batang Pokok Sawit Kepada Kayu Bergergaji dan Papan Lapis dan Aplikasi Dalam Perabot di sini, semalam.

Seminar itu dilancarkan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Himmat Singh yang mewakili Menteri, Datuk Douglas Uggah Embas.

Jalaluddin berkata, papan lapis sawit sebenarnya menawarkan potensi besar dengan nilai dianggarkan sebanyak RM4.5 bilion setahun jika pokok dari semua kawasan penanaman semula diproses menjadi papan lapis.

“Malaysia adalah negara pengeluar utama dan pengeksport minyak kelapa sawit dunia serta mempunyai keluasan tanaman pokok kelapa sawit seluas 5.3 juta hektar sehingga 2014. Puratanya, seluas 130,000 hektar ladang kelapa sawit yang tersedia untuk ditebang setiap tahun bermula dari 2015 hingga 2032.

“Harga pasaran semasa bagi satu meter padu untuk papan lapis sawit ialah RM1,100 manakala satu hektar kawasan yang ditebang pula boleh menghasilkan lebih kurang RM35,000,” katanya.

Beliau berkata, MTIB berusaha untuk meningkatkan pengeluaran papan lapis sawit dan eksport dengan ketersediaan banyak batang pokok kelapa sawit dan harga jualan lebih murah jika dibandingkan dengan papan lapis kayu.

Menurutnya, pada masa ini, nilai eksport papan lapis sawit masih kecil berbanding papan lapis kayu, dengan pasaran eksport terdiri daripada Singapura, China dan United Kingdom.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 1:50 PM